Home Kolumnis Kebenaran Di Sebalik Sejarah Penubuhan Persekutuan Malaysia

Kebenaran Di Sebalik Sejarah Penubuhan Persekutuan Malaysia

SHARE

Persekutuan Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963, bilamana sebelas negeri dari Semenanjung Tanah Melayu bergabung bersama Sabah, Sarawak dan Singapura untuk membentuk sebuah persekutuan baharu.

Namun begitu,  sejarah Persekutuan Malaysia bukanlah hanya bermula pada tarikh tersebut, tetapi telah bermula sejak lama dahulu ketika negeri-negeri di Semenanjung Malaysia masih merupakan negara-negara Kerajaan Melayu Islam berdaulat yang berasingan kerana tanah air kita ini asalnya milik Raja-Raja Melayu.

Peristiwa demi peristiwa yang berlaku akhirnya membawa kepada persepakatan sembilan Raja-Raja Melayu untuk mengorbankan kuasa mutlak baginda semua ke atas negara masing-masing dan bergabung di bawah satu kerajaan yang baharu.

Dahulunya, rakyat bersatu, taat kepada Raja-raja dan setia kepada negara. Apabila orang-orang Melayu menyedari tipu muslihat licik British untuk menjajah kerajaan-kerajaan Islam di Tanah Melayu melalui Malayan Union, mereka telah bangkit membantah dan akhirnya berjaya membawa kepada pembubaran Malayan Union pada 31 Januari 1948. Pada 1 Februari tahun yang sama, Persekutuan Tanah Melayu telah dibentuk. British terpaksa menurut kehendak orang-orang Melayu yang bertindak untuk membentuk Persekutuan Tanah Melayu yang seterusnya membawa kepada kemerdekaan.

Sebenarnya, menurut pakar sejarah negara, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim, British tidak pernah menjajah seluruh Tanah Melayu, yang dijajah hanyalah Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Perkara ini boleh dibuktikan melalui dokumen Pemasyhuran Kemerdekaan (Declaration of Independence) yang dengan jelas menyebut, “Melaka dan Pulau Pinang … tamat daripada menjadi sebahagian daripada jajahan takluk Baginda Queen, dan Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen tidak lagi berhak menjalankan apa-apa kedaulatan baginda ke atas kedua-dua buah negeri yang tersebut itu”.

Dokumen Pemasyhuran Kemerdekaan merupakan sebuah dokumen persetujuan di antara Raja Inggeris, Queen, dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang bersetuju bermula daripada tarikh 31 Ogos 1957, sembilan buah negeri di bawah Raja-raja Melayu bersama Melaka dan Pulau Pinang menjadi sebuah Persekutuan baharu bernama Persekutuan Tanah Melayu.

Menariknya, dokumen rasmi ini dimulakan dengan nama Allah, tahmid dan selawat kepada Nabi Muhammad S.A.W., menunjukkan ciri-ciri Islam yang jelas terpahat pada dokumen negara yang amat penting ini. Ini membuktikan ketinggian agama Islam di dalam kerajaan kita sejak dahulu lagi. Malah, British sendiri telah mengiktiraf kedudukan Islam di negara ini, apabila moto negara yang tertulis pada Jata Negara bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang dinaungi oleh Raja Inggeris pun menyebut nama Allah, iaitu, “Dipelihara Allah” yang ditulis dalam tulisan Jawi.

Kerajaan-Kerajaan Melayu di Tanah Melayu ialah kerajaan Islam. Maka atas asas inilah lahirnya Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan Malaysia, yang menyebut, “Islam adalah agama bagi Persekutuan”, yang mana membawa maksud bahawa Malaysia ialah sebuah negara Islam. Hujah ni diperkuatkan lagi oleh Perkara 37 yang mewajibkan Yang Di-Pertuan Agong untuk bersumpah di atas nama Allah S.W.T. untuk memelihara pada setiap masa agama Islam sebelum memulakan tugas Baginda sebagai Yang Di-Pertuan Agong.

Perlembagaan Persekutuan merupakan asas kenegaraan kita yang jelas meletakkan Islam di tempat yang sangat tinggi iaitu hanya selepas ‘Nama, Negeri-negeri dan wilayah-wilayah Persekutuan’, dan ‘Penerimaan masuk wilayah-wilayah baru ke dalam Persekutuan’. Perkara ini dengan sendirinya jelas menafikan fitnah jahat yang mendakwa bahawa Malaysia ialah sebuah negara sekular atau Perlembagaan negara bersifat sekular. Sejarah negara kita jelas membuktikan bahawa negara kita tidak pernah bersifat sekular.

Amat malang kerana pada hari ini, ramai orang bukan Islam dan golongan liberal yang buta sejarah, atau sengaja menafikan sejarah. Mereka melupakan Kontrak Sosial, pengorbanan Raja-Raja Melayu dan jasa pemimpin-pemimpin yang terdahulu. Mereka mendakwa bahawa Perlembagaan Persekutuan bersifat sekular dan Islam hanyalah sekadar agama rasmi sahaja. Malah mereka mahu memadam segala sejarah sebelum penubuhan Persekutuan Malaysia.

Di atas nama hak asasi manusia, mereka menuntut untuk melakukan apa sahaja hatta menghina Agama Persekutuan, Raja-Raja Melayu, pemimpin negara dan lain-lain perkara yang jelas bercanggah dengan budaya Melayu dan ajaran Isam. Golongan ini menentang asas-asas agama dan asas-asas negara serta dengan sengaja menyalahtafsirkan Perlembagaan Persekutuan.

Suara-suara golongan ini membantah usaha untuk memartabatkan agama negara, contohnya dalam isu Pindaan Akta 355. Walhal, rakyat Malaysia sepatutnya bersatu dalam hal ini, kerana kita mesti ingat akan dua tiang kepada pembentukan Persekutuan ini iaitu Islam dan Kesatuan. Kita mesti bersifat patriotik, memahami asas negara kita dan menjunjung tinggi Perlembagaan Persektuan.

Janganlah kita leka sehingga kita lalai dan tertipu dengan agenda musuh yang mahu membinasakan negara kita. Kita tidak mahu melihat tragedi malang 13 Mei berulang kembali atau negara kita kembali dijajah.

Comments