Home Tempatan Kebanyakan Anak Muda Anggap Islam Sekadar Agama Rasmi – Editor Berita TV...

Kebanyakan Anak Muda Anggap Islam Sekadar Agama Rasmi – Editor Berita TV Al-Hijrah

SHARE

Serdang, Selangor: Semakin ramai sudah menyedari bahawa Islam adalah agama Persekutuan. Namun, berdasarkan program analisis yang dilakukan, kebanyakan anak-anak muda Malaysia hanya mengetahui Islam itu adalah (sekadar) agama rasmi.

Demikian kenyataan daripada Ketua Unit Hal Ehwal Semasa merangkap Editor Berita TV Al-Hijrah Hajah Syafinaz Binti Yunus.

“Berdasarkan program analisis yang dilakukan oleh saya dan rakan-rakan, kebanyakan daripada belia-belia kita, anak-anak muda kita masih tidak tahu akan terma ‘rasmi’ dan ‘Persekutuan’ ini. Mereka hanya tahu Islam adalah agama rasmi. Islam adalah baca al-Fatihah, baca doa pada majlis-majlis formal.”

Ujarnya lagi sewaktu dalam program Deklarasi Ijtima’ Penegasan Kedaulatan Islam (DIPKI) 2018 peringkat negeri Selangor yang berlangsung semalam di Dewan Bankuet, Universiti Putra Malaysia (UPM), keadaan tersebut berlaku kerana tiadanya roh dalam jiwa anak muda untuk membangkitkan atau memperjuangkan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Disebabkan itu tiada roh dalam jiwa mereka untuk membangkitkan atau memperjuangkan Islam sebagai agama Persekutuan. Dalam Perlembagaan kita Perkara (1) Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan Islam adalah agama Persekutuan.”

Oleh yang demikian, beliau menasihatkan kepada semua umat Islam di Malaysia untuk memahami buku Perlembagaan Persekutuan agar wujud kekuatan untuk memperjuangkan agama Islam dan supaya tidak mudah didoktrinkan oleh golongan atau kumpulan yang tidak bersetuju agama Islam sebagai agama Persekutuan Malaysia.

“Apabila kita menghadami buku Perlembagaan Persekutuan, baru kita tahu, kita ada kekuatan untuk memperjuangkan (agama Islam). Apabila kita tidak faham, kita senang didoktrinkan, dimanipulasi ataupun dipropagandakan dengan mereka-mereka di luar sana yang tidak bertanggungjawab yang mengatakan Islam di Malaysia hanyalah agama rasmi.”

Comments