Home Pendapat Kebangkitan Islam di Turki

Kebangkitan Islam di Turki

SHARE

Tamatnya Khilafah

Tahun 1922 menjadi satu titik bersejarah yang bermakna, kejatuhan Empayar Uthmaniyyah menjadi lambang kehancuran Khilafiah yang bertahan selama 623 tahun. Sekularisme datang mengambil tampok pimpinan, diketuai oleh Kemal. Turki dibawah kepimpinan sekular menjadi tempat yang menzahirkan kekejaman dan kezaliman ke atas rakyatnya. Menjunjung doktrin ‘sekularisme’, azan diharamkan, dan dimana terdapat kebenaran azan perlu diterjemahkan ke dalam bahasa Turki.

Bukan itu sahaja, tidak cukup dengan kezaliman ke atas agama, rejim sekular bertindak meleburkan apa jua perkara yang boleh dikaitkan dengan Islam. Bahasa Turki yang selama ratusan tahun ditulis menggunakan huruf Arab sekarang ditulis menggunakan skrip Latin.

Penggunaan huruf-huruf Arab ini dimatikan buat selamanya. Wanita yang bekerja dengan kerajaan tidak boleh berhijab di pejabat kerajaan dan sekolah-sekolah. Semua ini berubah dengan pelantikan Recep Tayyip Erdogan sebagai Perdana Menteri pada tahun 2003. Beliau mula membawa pembaharuan kepada negara yang dilanda pelbagai masalah ini.

Titik Perubahan

Pada tahun 2003, Recep Tayyip Erdogan telah dilantik sebagai Perdana Menteri Turki. Pada waktu itu, pelbagai perubahan dimulakan, bermula dengan pemantapan ekonomi negara Turki. Pada ketika pelantikan Erdogan, Turki sedang beransur pulih daripada kemelesetan ekonomi. Namun begitu, pelantikan Erdogan telah memangkin pembaharuan ekonomi sehingga Turki berjaya mengeluarkan diri daripada belenggu pinjaman International Monetary Fund (IMF).

Pendapatan perkapita Turki pada tahun 2003 adalah sekitar USD 4,600. Namun demikian, pada tahun 2013 telah melonjak naik sehingga ke USD 11,000. Peningkatan lebih dua kali ganda menjadi bukti ekonomi yang kian kukuh dan berkembang. Begitu juga dengan Pendapatan Dalam Negara Kasar (PDNK) pada tahun 2003 berada pada sekitar USD 392 bilion, dan pada tahun 2013 berkembang sehingga sekitar USD 822 bilion, peningkatan lebih dua kali ganda dalam masa satu dekad.

Setelah mengukuhkan ekonomi Turki, Erdogan telah mengambil langkah untuk mengurangkan kuasa tentera Turki. Tentera Turki mempunyai sejarah gelap dalam negara tersebut. Pada tahun 1961, Perdana Menteri Turki telah digantung sampai mati oleh pasukan tentera Turki. Walaupun setelah 10 tahun memerintah Turki, iaitu dari tahun 1950 – 1960, beliau telah melakukan satu kesilapan besar, iaitu membiarkan tentera berkuasa tanpa kawalan.

Insiden ini menjadi satu pengajaran kepada Erdogan, yang kemudiannya telah bertindak mengubah sistem pelantikan ketua tentera di Turki. Seterusnya, berjaya mengawal tentera yang dahulunya seperti musuh dalam selimut. Harus diingat, usaha mengawal tentera Turki datang dengan satu kos yang tinggi, di mana Erdogan serta keluarganya hampir kehilangan nyawa.

Sewaktu sedang bercuti dengan keluarganya, di Marmaris, Selatan Turki satu serangan hendap telah dirancang oleh pendahagi dari kalangan tentera. Erdogan dengan bantuan pengawal keselamatannya telah berjaya melarikan diri serta keluarganya sebelum penyerang-penyerang itu sampai. Walaupun berjaya menyelamatkan diri, keluarga dan negara daripada kebinasaan yang bakal menimpa, insiden ini telah mengorbankan ratusan nyawa.

Usaha ini dikatakan telah dirancang oleh Fethullah Gulen yang sekarang tinggal di Amerika Syarikat. Menyedari bahawa masih terdapat unsur-unsur Kemalisme di dalam tentera yang mungkin sukar dihapuskan, Erdogan telah melaksanakan satu referendum pada 16 April 2017.

Kebangkitan Islam di Turki

Setelah referendum untuk memberi kuasa penuh kepada Presiden mendapat persetujukan majoriti rakyat Turki, media Barat secara terus menerus menyerang keputusan ini. Walaupun keputusan ini dicapai melalui demokrasi, akan tetapi demokrasi hanyalah demokrasi apabila kepentingan Barat boleh diteruskan. Segala yang menghalang kepentingan ini akan dilihat sebagai tidak selari dengan sistem pentadbiran demokrasi berparlimen.

Satu perkara yang jelas dapat dilihat adalah kebangkitan Islam di Turki, setelah hampir 100 tahun ditindas dan dizalimi oleh sentimen sekularisme. Umat Islam sekarang bebas mengamalkan Islam, wanita Islam bebas memakai hijab, azan bebas berkumandang, dan peranan yang kian meningkat dalam geo-politik umat Islam.

Namun demikian, kuasa Presiden Turki tidak akan ditingkatkan dengan serta merta namun tertakluk kepada Pilihanraya Presiden pada tahun 2019 yang akan datang. Walaupun status Turki sebagai sebuah negara sekular masih terjamin, namun toleransi terhadap penganut Islam semakin meningkat, daripada kezaliman kepada keberadaan.

Sekali lagi terbukti bahawa toleransi hanya boleh dicapai melalui kepimpinan yang Islamik.

Penindasan umat Islam di Singapura, Perancis, Amerika Syarikat dan lain-lain negara di dunia menjadi bukti bahawa sekularisme hanya satu angan-angan kosong. Pelaksanaan sekularisme tidak mempunyai jiwa seorang hamba. Sekularisme menitikberatkan perundangan dan membelakangkan nilai-nilai peradaban dan keagamaan. Kepimpinan yang berteraskan sekularisme tidak mempunyai jiwa yang bertanggungjawb terhadap kepentingan agama. Hanya kekuasaan dan harta benda yang menjadi rebutan.

Kegagalan sekularisme dan liberalisme di Barat boleh dilihat apabila kebanyakan parti liberal di Barat kalah pada pilihanraya terkini. Nilai-nilai ini seolah-olah memakan diri mereka sendiri dari dalam, natijah kerana membelakangkan kebenaran. Diharap dengan kebangkitan ini, Turki akan mendapat nafas baru dalam pentadbiran, ekonomi, kewangan dan yang paling penting aspek spiritual.

Comments