Home Tempatan Keamanan Al-Quds adalah tanggungjawab sejagat- Raja Muda Perlis

Keamanan Al-Quds adalah tanggungjawab sejagat- Raja Muda Perlis

SHARE

KUALA LUMPUR 10 Feb. – Keamanan kota Al-Quds merupakan tanggungjawab sejagat yang melibatkan masyarakat antarabangsa di semua peringkat.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, selepas berkenan berangkat menyempurnakan pelancaran “Tabung Untuk Aqsa Negeri Perlis” yang diadakan bersempena ‘Bengkel Pemantapan ICT’ anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Hotel Seri Pacific malam tadi.

Keberangkatan baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa ICT MAIPs Hj Azlan Hussain.

“Semua pihak harus komited dalam menjaga keamanan kota Al-Quds. Semua manusia berhak untuk hidup dalam keadaan aman,” titah baginda.

Tabung untuk Aqsa dilancarkan oleh baginda selaku Yang Dipertua MAIPs bersempena ‘Program Prihatin Al-Quds’ yang bakal dilaksanakan pada 13 Februari 2018 yang akan datang di Masjid Tuanku Syed Putra Kangar yang bakal menampilkan kehadiran Sheikh Dr. Ekremah Sai’d Sabry, Mantan Mufti Palestin dan Imam Masjid Al-Aqsa.

Kutipan tabung berkenaan akan melibatkan sumbangan daripada masyarakat, warga jabatan-jabatan kerajaan dan swasta di seluruh Negeri Perlis, selain turut menerima sumbangan yang dikutip di IPT-IPT, sekolah-sekolah dan masjid-masjid di Perlis sehingga 16 Februari 2018.

Baginda turut berkenan melancarkan paparan jumlah terkini kutipan tabung berkenaan di laman portal MAIPs.

Sila klik di sini untuk bacaan lanjut.

UTUSAN ONLINE

Comments