Home Tempatan Kassim Ahmad Terus Dikecam

Kassim Ahmad Terus Dikecam

SHARE

Putrajaya: Kenyataan Kassim Ahmad, individu penuh kontroversi bahawa kedudukan Islam di Malaysia sebagai agama Persekutuan perlu dihapuskan terus mendapat kritikan daripada pelbagai pihak.

Terbaru, Pensyarah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Muhammad Rashidi Wahab berkata, “Antara agenda liberalisme di Malaysia ialah untuk menghapuskan kedaulatan agama Islam dalam Perlembagaan Persekutuan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, iaitu dengan menafikan kedudukan agama Islam di Malaysia sebagai agama bagi Persekutuan (Agama Negara).”

Dalam masa yang sama, golongan liberal dengan sengaja menafsirkan Islam dalam Perlembagaan (Perkara 3(1)) sekadar agama rasmi sahaja, bukan agama Persekutuan atau Agama Negara. Tujuan mereka adalah untuk menyatakan bahawa Malaysia adalah Negara Sekular yang tidak terikat dengan peranan agama Islam.

Menurut Muhammad Rashidi lagi, “Sumpah Yang Di-Pertuan Agong (selaku Ketua Negara) di bawah Perkara 37(1) untuk memelihara agama Islam pada setiap masa menguatkan lagi kedudukan agama Islam di Malaysia sebagai agama bagi Persekutuan.”

“Manakala Ketua Agama Islam di negeri-negeri pula ialah Sultan atau Raja negeri masing-masing. Hal ini menunjukkan bahawa kedudukan Islam di Malaysia sebagai agama bagi Persekutuan adalah perkara yang diiktiraf oleh Perlembagaan, dan ia merupakan pemisah antara konsep Negara Islam dengan Negara Sekular.”

Muhammad Rashidi mengulas kenyataan Kassim Ahmad tersebut melalui akaun facebook miliknya pada 19 April 2017. Beliau yang juga Felo di Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) dan aktif membentangkan kertas kerja mengenai ancaman liberalisme di Malaysia, turut menjelaskan bahawa antara ciri-ciri liberalisme ialah memperjuangkan Negara Sekular dan demokrasi liberal.

Penolakan golongan liberal terhadap peranan serta campur tangan negara dan kerajaan dalam hal-ehwal agama Islam, adalah manifestasi daripada kebebasan individu yang merupakan kesinambungan daripada kebebasan daripada Tuhan dan agama dalam sekularisme.

Maka, sebarang persoalan agama adalah urusan peribadi individu tersebut, dengan menghadkan agama hanya dalam ruang lingkup ritual dan spiritual semata-mata. Kerajaan atau masyarakat atau sesiapa sahaja tidak boleh campur tangan dalam sebarang urusan individu, termasuklah urusan agama.

“Berasaskan idea ini, maka muncullah kenyataan seperti Jakim perlu dihapuskan, jangan ganggu privasi Muslim berkhalwat kerana ia adalah dosa peribadi, agama adalah urusan peribadi dan sebagainya lagi. Kenyataan sebegini menunjukkan bahawa ancaman liberalisme di Malaysia semakin membimbangkan”, katanya.

Sebelum ini, pihak CENTHRA, CLJ, YP, PPMM dan iPeguam menerusi kenyataan media mereka pada 18 April 2017, menolak kenyataan Kassim Ahmad tersebut secara tegas.

Dalam masa yang sama, beberapa laporan polis telah dibuat terhadap kenyataan Kassim Ahmad yang dilihat berniat jahat dan menghasut rakyat Malaysia membenci dan menjejaskan ketenteraman awam di Malaysia.

Comments