Home Tempatan Kartun monyet: KDN minta Nanyang gantung penyunting, kartunis

Kartun monyet: KDN minta Nanyang gantung penyunting, kartunis

Nur Jazlan Mohamed berkata, KDN sudah memulakan siasatan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana kartun itu menyakitkan hati umat Islam.

SHARE

PETALING JAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah meminta akhbar Nanyang Siang Pau mengambil tindakan disiplin dalaman atau menggantung penyunting, penolong penyunting dan kartunis yang terbabit dalam menerbitkan karikatur monyet penuh kontroversi baru-baru ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang dipetik Oriental Daily berkata, KDN sudah memulakan siasatan terhadap perkara itu mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana kartun itu menyakitkan hati umat Islam.

Beliau berkata, permit penerbitan Nanyang Siang Pau dikeluarkan KDN di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, oleh itu pihaknya sudah mengeluarkan surat amaran kepada akhbar berkenaan meminta mereka mengambil tindakan terhadap individu terbabit untuk dijadikan amaran.

“KDN akan terus memantau akhbar itu bagi memastikan mereka mengambil tindakan berkenaan,” katanya ketika menggulung perbahasan mewakili kementeriannya pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Pada 8 April lalu, ruang kartun akhbar itu memaparkan seekor monyet bersongkok dilabel sebagai “speaker” dan seekor lagi memakai serban dinamakan “Hadi Awang” bertenggek di sebatang pokok “Akta 355”, merujuk rang undang-undang persendirian Hadi untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Ia disusuli tindakan 150 ahli Pemuda PAS mengadakan demonstrasi di ibu pejabat Nanyang Siang Pau dengan mengemukakan 4 tuntutan, antaranya memohon maaf secara terus kepada Hadi, pada 11 April lalu.

Akhbar itu kemudiannya memohon maaf secara terbuka kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di akhbarnya, serta mengeluarkan kartun itu dari laman webnya, eNanyang.my.

Walaupun dengan permohonan maaf itu, PAS melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, mereka mungkin menyaman akhbar itu dan mendesak KDN mengkaji semula permit penerbitannya.

Pada 16 April lalu, Nur Jazlan dilaporkan berkata, KDN tidak akan mengambil tindakan terhadap Nanyang Siang Pau kerana sudah menerima penjelasan dan permohonan maaf mereka.

Katanya, KDN tidak akan mengambil tindakan terhadap akhbar itu, sebaliknya menyerahkan kepada syarikat terbabit untuk mengambil tindakan dalaman sewajarnya terhadap individu berkenaan.

Dalam pada itu, Nur Jazlan mengulangi kenyataannya KDN menerima penjelasan dan permohonan maaf akhbar itu, tetapi memberi amaran kepada mereka supaya tidak mengulangi kesilapan sama atau tindakan tegas akan dikenakan.

Free Malaysia Today

Comments