Home Antarabangsa Kanak-kanak Rohingya haus pendidikan

Kanak-kanak Rohingya haus pendidikan

SHARE
SEORANG Askar Bangladesh sedang mengawasi kanak-kanak Pelarian Rohingya sedang menunggu bantuan oleh Misi Food Flotilla for Myanmar di Kem Pelarian Rohingya Leda disini, hari ini. GAMBAR/HAFIZ JOHARI

KEM KUTUPALONG, COX’S BAZAR 20 Feb. – Seorang kanak-kanak pe­la­rian etnik Rohingya, Saiful Islam, 10, telah menjadi penghuni Kem Kutupalong sejak tiga bulan lalu.

Dia melarikan diri ke kem ber­kenaan bersama-sama ibu bapanya, setelah kampung mereka di Arakan dimusnahkan tentera Myanmar.

Ketika ditanya mengenai huruf-huruf yang boleh dikenalinya, Saiful Islam hanya menyebut ‘A, B, C’ sahaja dan huruf selebihnya langsung tidak dikenali.

Keadaan kanak-kanak di kem ini sangat menyedihkan berbanding kanak-kanak seusianya di Malaysia yang pastinya sudah mampu membaca dengan lancar, malah sudah boleh berbahasa Inggeris dengan baik.

Penyelaras Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) bagi Kem Kutupalong, Safir Mustafa memberitahu, lebih 20,000 kanak-kanak yang seusia dengan Saiful Islam masih lagi buta huruf.

“Mereka perlu diberikan pendidikan yang sempurna jika dunia mahu melihat nasib etnik Rohingya berubah.

“Selain makanan, bantuan dari segi tenaga pengajar untuk program-program pendidikan ba­gi kanak-kanak etnik Rohingya juga perlu diperkenalkan bagi menjamin masa depan yang lebih baik untuk mereka,” katanya di sini hari ini.

Safir yang juga seorang etnik Rohingya berkata, dia bernasib baik kerana ada sukarelawan dari Amerika Syarikat mengajarnya berbahasa Inggeris lima tahun lalu di kem pelarian tersebut.

“Saya menggunakan ilmu yang diajar oleh sukarelawan tersebut untuk mengajar kanak-kanak Rohingya di sini.

“Sekurang-kurangnya kanak-kanak Rohingya akan tahu serba sedikit bahasa Inggeris dan mereka boleh berkomunikasi dengan sukarelawan yang datang ke kem pelarian,” ujarnya. – UTUSAN

utusan online

Comments