Home Tempatan Kami keluarkan sijil halal, bukan sijil haram, kata Jakim

Kami keluarkan sijil halal, bukan sijil haram, kata Jakim

Ada pengguna yang keliru dan menganggap produk yang tidak ada sijil halal Jakim adalah haram daripada segi fiqah.

SHARE

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkata produk makanan yang tidak mendapat pengesahan sijil halal daripada agensi itu tidak bererti haram daripada segi hukum fiqah.

Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim Dr Sirajuddin Suhaimee berkata ada makanan yang halal daripada segi hukum fiqah, tetapi tidak ada sijil pengesahan halal yang sah kerana pemilik produk tidak memohon untuk mendapatkannya.

“Kita diberi tanggungjawab untuk mengesahkan sesuatu produk itu halal berdasarkan permohonan yang diterima.

“Tetapi ini tidak bererti produk yang tidak ada sijil pengesahan halal itu tidak halal, cuma pemiliknya tidak memohon,” katanya dalam wawancara bersama FMT di ibu pejabat Jakim baru-baru ini.

Sirajuddin berkata mereka juga tidak memberi sebarang pengesahan untuk mengatakan produk tanpa Sijil Pengesahan Halal Malaysia adalah haram.

“Ini kerana kita tidak pernah keluarkan sijil pengesahan haram dan perkara itu sudah disebut banyak kali kepada media.

“Yang ‘viral’ kata Jakim sahkan Starbucks haram. Kita tidak pernah letak label haram kepada produk tersebut,” katanya.

Beliau mengulas mengenai kekeliruan di kalangan pengguna selepas Jakim mengesahkan coklat jenama Daim dan Toblerone tidak mempunyai sijil pengesahan halal Malaysia mahu pun badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf Jakim.

Manakala bagi produk Daim dan Toblerone, ia tidak mendapat sijil pengesahan halal tempatan kerana pengeluar produk tersebut tidak ada mengemukakan seberang permohonan untuk mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia.

Sirajuddin berkata sesetengah negara tidak mahu logo halal pada bungkusan produk walaupun produk itu menepati piawaian halal.

“Di Amerika Syarikat (AS) misalnya permintaan di sana buat masa ini tidak mahu dipamerkan logo halal pada produk.

“Walaupun ada produk AS sudah mendapat pengesahan halal daripada badan pensijilan halal luar negara tetapi logo halal tetap tidak ada jika tiada permintaan,” katanya.

Free Malaysia Today

Comments