Home Tempatan Kalau gaji tak luar biasa, lupakan hasrat beli rumah

Kalau gaji tak luar biasa, lupakan hasrat beli rumah

Seorang perunding hartanah berkata kaum pekerja mungkin terpaksa tinggal di rumah ibu bapa mereka untuk tempoh yang lebih lama

SHARE

KUALA LUMPUR: Jika kamu, pekerja biasa, berfikir untuk membeli rumah, mungkin kamu perlu kembali ke alam nyata.

Walaupun kamu mampu mendapatkan pinjaman untuk rumah impian jenis murah, barangkali kamu akan menanggung mimpi ngeri selama 30 tahun, kata seorang perunding hartanah veteran.

Dalam wawancara bersama FMT, juruukur bertauliah Ernest Cheong berkata rakyat berpendapatan biasa tidak mampu menanggung pinjaman perumahan kerana gaji tidak meningkat selaras dengan kos sara hidup.

Beliau meramalkan lebih ramai rakyat terpaksa tinggal di rumah ibu bapa untuk tempoh yang lebih lama berbanding generasi terdahulu.

“Semasa sama mula bekerja pada 1966 sebagai seorang pembantu makmal, gaji saya RM500 sebulan,” katanya. “Saya mampu membeli sebuah kereta Mini Minor baharu pada harga RM4,500 dan membayar ansuran RM130 sebulan.

“Pada masa itu, sepinggan mi atau nasi ayam cuma 30 sen.”

Hari ini, katanya, seorang siswazah baharu akan dibayar sehingga RM2,500 untuk jawatan yang sama. Lima kali ganda daripada gaji 1966, tetapi kereta baharu termurah di pasaran berharga 5 kali ganda lebih mahal daripada sebuah kereta Mini 1966.

Harga sepinggan mi atau nasi ayam? Enam belas kali ganda lebih mahal.

Ernest berkata kos sebuah rumah biasa hari ini di luar kemampuan sebahagian besar kaum pekerja.

Bagi sebuah rumah berharga RM500,000, bayaran bulanannya sekitar RM2,500 selama 30 tahun untuk pinjaman 90% dan faedah 6%.

“Statistik Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menunjukkan 89% rakyat berpendapatan kurang dari RM5,000 sebulan,” kata Ernest. “Jadi bayaran bulanan RM2,500 merupakan jumlah yang besar untuk kebanyakan orang.

“Tambahan pula, bukan mudah untuk dapatkan pinjaman perumahan. Andai kata berjaya dapatkan pinjaman 90%, mencari baki bayaran pendahuluan 10% juga suatu cabaran.”

Menurut Ernest, bukan rakyat Malaysia sahaja yang tidak mampu membeli rumah sendiri. Rakyat Jepun, Korea Selatan, Hong Kong, Australia dan Amerika Syarikat juga mengalami nasib yang sama.

Disember lepas, CBS News melaporkan 40% pemuda AS tinggal di rumah ibu bapa. Tahun lepas, Bloomberg melaporkan kajian 2012 yang menunjukkan hampir separuh daripada golongan bujang Jepun yang berusia antara 20 hingga 34 tinggal di rumah ibu bapa.

“Gaji tidak naik dengan kepantasan secukupnya,” kata Ernest. “Masyarakat hari ini perlu bersedia menerima hakikat yang mereka tidak akan mampu memiliki kediaman sendiri atau turunkan harapan masing-masing secara drastik.”

Free Malaysia Today

Comments