Home Tempatan Kaji semula PPDa di sekolah

Kaji semula PPDa di sekolah

SHARE
KUALA LUMPUR 03 NOVEMBER 2014. Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Pendermaan Organ, Tan Sri Lee Lam Thye ditemuramah wartawan di Balai Berita Bangsar, Jalan Riong. NSTP/ Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Program Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) di sekolah perlu dikaji semula berikutan pembabitan remaja yang menjadi sasaran utama sindiket pengedaran dadah semakin membimbangkan.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata Kementerian Pendidikan perlu berbincang dengan pihak seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengenal pasti langkah pencegahan lebih berkesan.

Pada masa sama, katanya, ibu bapa harus mengawasi tingkah laku dan aktiviti anak pada setiap masa. “Apa yang paling penting adalah mengukuhkan institusi keluarga dan menaik taraf kualiti hidup keluarga. “Peranan keluarga adalah benteng pertahanan utama terhadap penyalahgunaan dadah dan masalah sosial dalam kalangan remaja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Lam Thye berkata, kempen pencegahan dadah sepatutnya bermula dari rumah dan sekolah supaya mereka dapat dididik untuk menjauhi dadah. Katanya, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) wajar meningkatkan aktiviti dan program yang memberi tumpuan terhadap isu dadah.

“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) juga harus memperhebatkan operasi terhadap sindiket pengedar dadah yang cuba mempengaruhi dan merekrut pelajar dan remaja. “Guru dan pelajar boleh menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa bagi mengesan pihak yang ada kaitan dengan sindiket cuba merekrut pelajar mengedar atau menjual dadah,” katanya.

Berita Harian

Comments