Home Pendapat Kaji implikasi terhadap teks Perlembagaan

Kaji implikasi terhadap teks Perlembagaan

SHARE

Sekumpulan masyarakat sivil mencadangkan supaya Rukun Negara dijadikan mukadimah Perlembagaan Persekutuan. Mukadimah atau preamble boleh diterjemahkan sebagai pernyataan atau pengenalan. Tujuannya untuk memberi gambaran umum dan ringkas, menyatakan tujuan serta mencipta semangat kekitaan dan juga menjelaskan kekaburan.

Cadangan yang dikemukakan itu adalah besar, sekali gus mempunyai implikasi besar kerana membabitkan Perlembagaan, iaitu undang-undang tertinggi negara. Cadangan ini memerlukan pemikiran dan kajian mendalam dalam pelbagai perkara. Kajian perlukan engagement, perincian dan penerangan lebih menyeluruh atau bersepadu, sekurang-kurangnya bidang perundangan, sosiologi dan sejarah.

Ia perlukan penyertaan menyeluruh pihak berkaitan seperti saksi pembentukan Perlembagaan Persekutuan dan saksi kepada pewujudan Rukun Negara ketika pentadbiran Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), kumpulan yang mewakili Raja-Raja serta kumpulan kecil lain seperti Orang Asli dan seumpamanya.

Saya membaca di akhbar dan mendengar penerangan mengenai alasan kenapa Rukun Negara perlu dijadikan mukadimah. Ia berkisar kepada ketidakupayaan Rukun Negara mendapat perhatian, amalan dan penghayatan warga Malaysia.

Saya agak berhati-hati dalam isu ini kerana pada pengamatan saya, penghayatan kepada Rukun Negara boleh menjadi lebih berkesan dengan pemerkasaan sistem pendidikan dan dasar negara berkaitan aspek yang ditekankan dalam matlamat dan prinsip Rukun Negara.

Diperkasa melalui perundangan lain

Penghayatan kepada Rukun Negara tidak semesti secara mudah boleh berlaku dengan memasukkan dalam Perlembagaan. Ia perlukan usaha dalam bentuk lain.

Bagi tujuan mendapatkan pengesahan undang-undang kepada Rukun Negara, ia boleh diperkasa melalui perundangan lain, bukan Perlembagaan. Ia boleh diterjemahkan ke dalam perundangan jenayah, misalnya. Sebagai contoh, pindaan telah dilakukan kepada Kanun Keseksaan dengan menjadikan kesalahan dalam seksyen seperti, 124B hingga 124F.

Ada juga kesan positif jika Rukun Negara dijadikan mukadimah. Antara lain, ia boleh memberi gambaran umum mengenai pengisian Perlembagaan Persekutuan sebagai panduan kepada mahkamah dalam mentafsir Perlembagaan.

Keduanya, Rukun Negara berada dalam undang-undang tertinggi negara secara harfiah, walaupun inti pati sudah sekian lama mengakar dalam Perlembagaan. Walaupun ada kesan positif, saya lebih berhati-hati kepada kesan negatifnya juga. Antara lain, kesan negatif yang mungkin timbul ialah:

Pertama, ia membuka lebar pengisian Perlembagaan kerana istilah yang digunakan agak luas berbanding teks Perlembagaan. Rukun Negara mempunyai prinsip yang meluas, tetapi berbeza dengan dimensi pengisian teks Perlembagaan. Sebagai contoh, Perlembagaan mengandungi aspek keadilan sosial lebih jelas dan terperinci.

Begitu juga dengan keadilan dalam hal ekonomi. Perkara berkaitan federalisme atau Negara Persekutuan begitu jelas dalam Perlembagaan, tetapi agak terhad dalam Rukun Negara. Begitu juga dimensi berkaitan kebebasan asasi.

Benar jika dikatakan bahawa mukadimah perlu memberikan dimensi lebih luas berbanding teks Perlembagaan kerana ia adalah pengenalan. Namun, pengenalan yang meletakkan dimensi terlalu luas berpotensi memberikan gambaran tidak tepat dalam pengisian teks Perlembagaan itu sendiri.

Hal berkaitan ‘Kepercayaan kepada Tuhan’ juga saya percaya, tidak sudah-sudah akan menjadi polemik. Ia mewajibkan setiap rakyat Malaysia mempunyai Tuhan. Kedua, ia tidak menyebut mengenai kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan.

Berkaitan kebebasan hak asasi, saya fikir, ia perlu dibahaskan dengan lebih terperinci. Hasil kajian pada 2010 yang diterbitkan oleh Oxford University Press menyatakan bahawa: “In many countries, the preamble has been used, increasingly, to constitutionalise unenumerated rights; The preamble should not be used as a Trojan Horse intended to smuggle substantive rights”.

Pengalaman Kanada juga seperti dinyatakan dalam Laporan Constitutional Reform Unit yang diterbitkan The University of Sydney pada 2011: “The Canadian courts have been more inclined… to find substantive constitutional measures in their constitutional preambles, including what some have regarded as an ‘implied bill of rights’…”

Walaupun hasil kajian ini bukan berkaitan negara kita, tetapi itu kebimbangan yang ada dalam kedudukan mukadimah Perlembagaan.

Sejarah berbeza

Perkara kedua, sejarah gubalan Perlembagaan Persekutuan berbeza dengan sejarah kewujudan Rukun Negara. Dalam membentuk Perlembagaan, kita dapati pelbagai pihak terbabit, terutama Raja-Raja Melayu dengan pelbagai memorandum dan mesyuarat. Prosesnya lebih panjang dan lebih banyak pihak terbabit. Namun Rukun Negara, walaupun prosesnya rumit, ia membabitkan MAGERAN.

Maka kelahiran Rukun Negara adalah hasil gerakan rakyat bertujuan mengembalikan perpaduan yang sudah rapuh. Oleh itu, keduanya mempunyai sejarah berbeza.

Walaupun mukadimah kepada Perlembagaan mempunyai kepelbagaian, antara ciri mukadimah biasanya ia mengandungi perkara berkaitan sejarah. Oleh itu, mukadimah bagi Perlembagaan kita tidak boleh digunakan untuk mengubah landskap sejarah negara yang melingkari gubalan Perlembagaan pada 1956 dan 1957, bahkan sejarah sebelum itu.

Walaupun Rukun Negara yang diisytihar pada 1970 itu mengambil kira sejarah 1957 dan pembentukan Malaysia 1963, pada asal kewujudannya, ia tidak diniatkan sebagai mukadimah kepada Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun Rukun Negara diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong, ia tidak menjelaskan mengenai peranan Raja-Raja Melayu dan tiada tandatangan perkenan baginda seumpama perjanjian pembentukan Tanah Melayu.

Daripada perspektif perundangan, sekiranya Rukun Negara dijadikan mukadimah kepada Perlembagaan, perkara yang paling ketara ialah ia menjadi sebahagian daripada Perlembagaan dan sekali gus membentuk sebahagian daripada undang-undang tertinggi negara.

Perkara seterusnya ialah, walaupun pengalaman negara lain, seperti Amerika Syarikat dan India, mukadimah Perlembagaan tidak mengikat teks Perlembagaan, tetapi ia bukan suatu yang mutlak. Ada hakim memutuskan mukadimah mengikat teks Perlembagaan.

Bahkan, kemungkinan untuk berlaku konflik antara matlamat negara yang ada dalam Rukun Negara akan menjadi isu tafsiran kepada kandungan Rukun Negara itu sendiri. Sebagai contoh, matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara demokratik, tetapi pada masa sama prinsipnya menyatakan bahawa setiap warganegara mempunyai kepercayaan kepada Tuhan.

Timbul masalah tafsiran

Adakah peruntukan ini kelak akan menafikan hak seseorang untuk tidak mempunyai Tuhan dalam skop demokrasi di Malaysia?

Peruntukan sebegini tidak bermasalah sekiranya ia berada di luar Perlembagaan seperti sekarang. Tetapi ia akan menimbulkan masalah tafsiran apabila berada dalam Perlembagaan kerana Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi.

Perbezaan matlamat negara dan perundangan bagi orang Islam pula, tidak boleh menukar agamanya, tetapi adakah maksud matlamat menjadi sebuah negara demokratik yang ada dalam matlamat negara akan memberikan ‘hak’ kepada orang Islam untuk menukar agamanya.

Malah, keadaan mungkin menjadi sukar apabila teks Perlembagaan tidak menggunakan istilah ‘demokrasi’ walaupun perkataan itu pernah disebut dalam Laporan Suruhanjaya Reid dan digunakan dalam Rukun Negara. Ini antara contoh konflik yang mungkin berlaku.

Penulis adalah Pakar Perlembagaan dan Felo Utama Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik (Syariah), Institut Kefahaman Islam Malaysia

Berita Harian

 

Comments