Home Tempatan Kahwin Bawah Umur Tidak Boleh Walaupun Dengan Izin Bapa – Charles Santiago

Kahwin Bawah Umur Tidak Boleh Walaupun Dengan Izin Bapa – Charles Santiago

SHARE

Petaling Jaya: Ahli Parlimen (DAP) Klang, Charles Santiago hari ini menyeru supaya perkahwinan kanak-kanak dihentikan walaupun perkahwinan tersebut mendapat restu daripada bapa. Beliau mengeluarkan seruan tersebut yang dipercayai berhubung dengan isu melibatkan seorang penoreh getah berumur 41 tahun di Kelantan yang telah mengahwini seorang budak perempuan berumur 11 tahun sebagai isteri ketiganya.

Charles Santiago yang melabelkan perkahwinan tersebut sebagai “rogol statutori” mendesak kerajaan Pakatan Harapan (PH) agar mengambil satu pendirian yang tegas dan jelas berkenaan isu perkahwinan kanak-kanak seperti yang dijanjikan dalam manifesto pilihanraya PH.

“Malaysia telah memperkasakan rangka kerja perundangannya yang berkaitan dengan jenayah seksual terhadap kanak-kanak pada tahun lepas tetapi tanpa menjenayahkan perkahwinan kanak-kanak,” ujar Charles dalam satu kenyataan.

Beliau menambah lagi, “Oleh itu, perkahwinan kanak-kanak mesti diharamkan walaupun mendapat persetujuan bapa, dan pembaharuan undang-undang bagi menjadikan umur 18 tahun sebagai umur sah undang-undang untuk perkahwinan mesti dibentangkan dalam sesi Parlimen yang akan datang.”

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam siasatan awal terhadap kes ini mendapati pendaftaran perkahwinan itu merupakan perkahwinan yang dimohon oleh pasangan dan anggota keluarga tanpa unsur paksaan dan dibuat secara sukarela.

Comments