Home Tempatan Juruteknik, petani didakwa lakukan aktiviti keganasan

Juruteknik, petani didakwa lakukan aktiviti keganasan

SHARE
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Dua sahabat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuba pergi ke Syria dengan niat melakukan aktiviti keganasan di negara itu, bulan lepas.

Juruteknik Mohamad Awang, 41, dan petani warga Indonesia, Anwar, 28,  mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Zaman Mohd Noor.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kesalahan itu adalah dalam bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Crystal Crown Hotel, di Jalan Jambu Mawar, Off Jalan Kepong Utama, di sini, pada 12 tengah hari, 21 Februari lalu.

Mereka didakwa me­ngi­kut Seksyen 130JA Kanun Ke­seksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 30 tahun serta denda.

Anwar turut dituduh atas kesalahan memiliki video di dalam telefon bimbit miliknya yang mempunyai kaitan dengan kumpulan Daesh.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada tarikh, tempat dan masa yang sama mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum tujuh tahun penjara atau denda dan boleh dilucutkan hak mana-mana item tersebut, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 28 April ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurfaida Mohd Rashidee manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. – Bernama

Sinar Online

Comments