Home Santai@menara Jual Burger Dapat 3,000 – 4,000 sehari – Sabrie Saleh

Jual Burger Dapat 3,000 – 4,000 sehari – Sabrie Saleh

SHARE

Sebut sahaja burger bakar, secara autoamatik, orang akan menyebut Burger Bakar Abang Burn. Nama ini pernah berada di puncak populariti satu ketika dahulu sewaktu burger bakar menjadi fenomena. Menurut Sabrie Salleh, pengasas Burger Bakar Abang Burn merangkap pengarah urusan kilang Food Artists Sdn Bhd, dia bukanlah orang pertama yang menerajui perniagaan burger bakar di Malaysia. Namun, apabila melihat perniagaan burger bakar mempunyai potensi untuk berjaya, maka beliau mengambil keputusan untuk menceburi perniagaan burger bakar.

Kiosk Burger Bakar Abang Burn dibuka buat julung-julung kalinya di kawasan Dagang Avenue Food Court, Ampang pada tahun 2012. Menurut Sabrie Salleh, modal yang digunakan untuk membuka kiosk tidaklah terlalu mahal kerana kos tersebut masih tidak terlalu membebankan.

Sewaktu zaman kegemilangan burger bakar, pendapatan pertama Burger Bakar Abang Burn melebihi dari jangkauan. Pada tahun pertama, kiosk ini mampu mencapai RM3000 – RM4000 sehari.

Namun, adat perniagaan, ada pasang surutnya. Fenomena burger bakar hanya mampu bertahan untuk beberapa ketika sahaja. Menurut Encik Sabrie, daripada 20 kiosk burger bakar miliknya, yang masih wujud dan bertahan hari ini hanyalah 7 buah kiosk dan 2 buah restoran sahaja.

Apabila ditanya apakah punca penutupan kiosk-kiosk tersebut, Encik Sabrie menjawab, antara sebab utama adalah kerana hilangnya fenomena burger bakar dalam pasaran semasa dan keadaan ekonomi sekarang di mana semua orang memilih untuk membeli makanan yang dapat menjimatkan dan mengurangkan kos perbelanjaan.

“Ada banyak isu. First adalah trend, kemudian perubahan dari segi ekonomi. Pada tahun 2012, ekonomi itu masih strong. Harga burger bakar itu lebih mahal sedikit sebab besar.”

Selain itu, Encik Sabrie juga memberitahu bahawa penjenamaan merupakan salah satu elemen penting dalam membantu perniagaan untuk bertahan lama terutama kepada para peniaga kiosk dan restoran.

“Apabila bercakap tentang penjenamaan, kita bercakap tentang persepsi. Apabila bercakap tentang persepsi, kita bercakap tentang emosi. Jika kita hanya membuat jualan, itu lebih kepada sales (penjualan), bukan emosi. Jika branding (penjenamaan) ditekankan, maka kedai akan bertahan dalam jangka masa yang lama,” tekan beliau.

“Sesebuah bisnes yang menjual produk berdasarkan apa yang orang ingin tahu, awal-awal, orang (pembeli) akan datang sebab ingin tahu. Tetapi masa orang dah beli, awak gagal untuk menjenamakan produk itu untuk memberi keperluan emosi lain, orang (pembeli) tidak akan datang kembali. Kerana itu peniaga harus memberi fokus kepada emosi universal, bukan sekadar ingin tahu dalam diri pelanggan,” katanya lagi.

“Branding (penjenamaan) penting. Seseorang usahawan yang tidak faham takrifan branding (penjenamaan), sales (jualan) dan marketing (pemasaran), kalau dia buat business (perniagaan), nescaya dia akan kaya, tapi untuk sementara sahaja.”

Apabila ditanya ada jalan mudah untuk menjadi kaya atau tidak, Encik Sabrie mengatakan ya. Bagi mereka yang mahu cepat kaya, hanya perlu menjalankan perniagaan makanan atau minuman yang sedang naik popularitinya. Kemudian, apabila zaman kemuncak makanan atau minuman tersebut hilang, maka, bolehlah menukar menu kepada menu lain yang sedang popular dalam keadaaan semasa.

Walaupun perniagaan Burger Bakar Abang Burn Encik Sabrie tidak sehebat dahulu, namun berbekalkan prinsip hidup yang dipegangnya iaitu percaya kepada diri dan lakukan sesuatu sehabis-habis baik, dia terus melangkah ke hadapan berdepan dengan jatuh bangun perniagaan. Buat masa ini, Encik Sabrie sedang dalam proses meneliti strategi lain bagi menaikkan dan mengembangkan lagi perniagaan yang dimilikinya.

Penulis tidak bertemu secara empat mata dengan Encik Sabrie, namun penulis dapat merasakan aura positif yang dimilikinya menyerap masuk dalam diri penulis. Sikap tidak berputus asa walaupun kehidupan memberikan kepahitan kepada Encik Sabrie dalam menjalankan perniagaan amat mengagumkan. Inilah salah satu sikap yang perlu ada dalam diri setiap orang terutamanya mereka yang ingin dan sedang terlibat dengan perniagaan. Semoga perniagaan yang dijalankan oleh Encik Sabrie mampu dikembangkan dan bertahan lama.

Comments