Home Tempatan Jom menyumbang RM50 bantu rakyat Palestin

Jom menyumbang RM50 bantu rakyat Palestin

SHARE
TIMBALAN Presiden TV Al-Hijrah, Dr A.Bakar Sarpon (kiri) dan Ketua Pengarah Eksekutif, Aman Palestin, Awang Suffian Awang Piut pada sidang media program Ekspresi Aqsa Solidariti Ummah sebuah program yang membangkitkan semangat mencintai dan mempertahankan Masjidil Aqsa di Kompleks Pusat Islam, TV Al-Hijrah. - Foto Halim Salleh

KUALA LUMPUR: Aman Palestin Bhd mengajak orang ramai menyertai kempen ‘Jom Menyumbang RM50 sebagai usaha untuk membantu rakyat Palestin mempertahankan kesucian Masjid al-Aqsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Bhd, Awang Suffian Awang Piut, berkata mereka mensasarkan sumbangan sebanyak RM9 juta dari rakyat Malaysia sebagai misi untuk menampung kos sara hidup rakyat Palestin.

“Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 5622 6301 0787 atau layari Facebook dan Twitter Tv Alhijrah dan Aman Palestin,” katanya.

Awang Suffian berkata, pihaknya menentang sekeras-kerasnya pencabulan berterusan zionis Israel terhadap Masjid al-Aqsa yang berleluasa sehingga ke hari ini.

“Umat Islam di sana dilarang untuk menunaikan solat Jumaat selain ditegah untuk melaungkan azan dan mereka juga mengenakan prosedur yang ketat terhadap warga Palestin dengan memasang alat pengesan logam dan kamera keselamatan,” katanya ketika berucap di majlis pelancaran konsert amal Ekspresi Aqsa Solidariti Ummah.

Sementara itu, Aman Palestin dengan kerjasama TV Alhijrah menganjurkan program berbentuk konsert amal Ekspresi Aqsa Solidariti Ummah dalam membangkitkan semangat mencintai dan mempertahankan Masjid al-Aqsa.

Awang Suffian, berkata program ini diadakan bertujuan untuk membangkitkan rasa tanggungjawab umat Islam terhadap pergolakan yang berlaku di Masjid berkenaan.

“Konsert amal ini diadakan untuk memberikan tanda sokongan padu daripada rakyat Malaysia kepada rakyat Palestin yang kini sedang berjuang demi mempertahankan negara tercinta.

“Dalam masa yang sama program ini juga dapat mendidik diri kita supaya menjadi lebih kuat dalam mempertahankan Islam tidak kira sama ada di Malaysia mahupun di seluruh negara, “katanya.

Konsert amal Ekspresi Aqsa Solidariti Ummah ini bakal berlangsung pada 27 Ogos ini di Alhijrah Big Studio dan orang ramai boleh menonton secara langsung atau melalui media alternatif lain seperti televisyen dan juga laman web TV Alhijrah.

Berita Harian

Comments