Home Tempatan Jika Hannah Yeoh Salah, Sila Ambil Tindakan – Dr Mujahid

Jika Hannah Yeoh Salah, Sila Ambil Tindakan – Dr Mujahid

SHARE

PARIT BUNTAR: Jika benar perkara yang didakwa itu dilakukan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Yeoh Tseow Suan atau lebih dikenali sebagai Hannah Yeoh maka, ambil segera tindakan terhadap beliau, kata Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

Kenyataan itu dibuat apabila beliau ditanya berkenaan dengan pendapat Hannah Yeoh berkemungkinan telah melakukan kesalahan di bawah Artikel 11(4) Perlembagaan Persekutuan dan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam yang memperuntukkan bahawa “Seseorang adalah melakukan kesalahan jika ia memujuk, mempengaruhi, atau menghasut seseorang lain yang beragama Islam supaya menjadi penganut atau anggota suatu agama bukan Islam atau supaya cenderung kepada agama itu.”

“Suruhlah polis ambil tindakan, kita bukan polis,” tegas beliau.

“Kalau ada Hannah Yeoh buat kerja itu dan bercanggah dengan undang-undang negara seperti dia menyebarkan dakyah Kristian kepada umat Islam, jelas kita mempunyai Artikel 11(4) itu yang meletakkan satu halangan, agama-agama lain bebas dan tidak boleh dia menyebarkan, kalau ada fasal-fasal itu pergilah ambil tindakan undang-undang terhadap Hannah Yeoh.”

Apabila ditanya mengenai pengakuan oleh Hannah Yeoh sendiri bahawa beliau menggunakan jawatan politik beliau untuk berdakyah di gereja-gereja kepada pemimpin-pemimpin dunia dan kepada orang-orang muda serta betapa beliau menyeru agar penganut Kristian membina semula Malaysia kerana Tuhan mahu menuntut semula politik dan perkhidmatan awam di Malaysia dan betapa beliau bercita-cita untuk membawa kepercayaan serta perkhidmatan Kristian ke dunia awam, Dr Mujahid Yusof Rawa menjelaskan beliau tidak pertahankan Hannah sampai tahap dia melanggar undang-undang malah siapa sahaja yang melanggar undang-undang negara perlu ditahan.

“Tetapi janganlah bercakap benda-benda merepek seperti ini,” katanya.

Menjawab persoalan terhadap komen yang dibuat oleh Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia Universiti Utara Malaysia (MAPAN-UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff bahawa pemimpin Amanah bodoh dan kuda tunggangan DAP, Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, susah untuk beliau memberikan respon terhadap kenyataan sedemikian.

“Dia merupakan orang akademik, lainlah kalau dia orang politik bolehlah saya nak lawan dengannya.”

“Katakan pada dia, duduk di dalam bidang akademik itu buatlah kerja akademik, kalau nak masuk politik silakan, sertai atau bertanding di mana-mana parti politik baru kita boleh lawan,” katanya.

Naib Presiden Amanah itu berpandangan tiada apa-apa yang salah tentang buku “Becoming Hannah” dan apa yang diceritakan adalah perkara biasa yang dikaryakan.

“Bagi saya itu perkara biasalah, siapa-siapa yang ada agama dia akan cerita mengenai Tuhannya,” katanya.

Beliau berkata, tidak pula selepas beliau membaca buku itu beliau menjadi Kristian, bukan sahaja buku itu malah buku Marxists karya Karl Marx pun sudah beliau baca tapi tak jadi fahaman komunis pun.

“Kalau mahukan perbincangan secara terbuka maka, berdebatlah dengan Hannah Yeoh,” katanya.

Dr Kamarul Zaman sebelum itu menjelaskan bahawa Hannah Yeoh yang menutup pintu perbincangan dengan membuat laporan polis terlebih dahulu.

Ketika ditanyakan sama ada beliau tahu terdapat unsur-unsur Kristian dalam buku tersebut, Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, “Mungkin unsur Kristian itu ada, tetapi persoalan memurtadkan itu di mana, saya tak jumpa pun di dalam buku itu, yang ada Hannah bercerita mengenai ketuhanan dari satu tahap kepada satu tahap di mana dia merasakan seperti Tuhan menyusur kehidupannya dan mentakdirkan dia menjadi orang politik dan perkara itu, di mana masalahnya.”

“Mana boleh kita nak tutup mulut dia, melalui kebebasan dia menulis dan kebebasan dia berkarya itu adalah hak dia.”

“Tidak ada pula kenyataan ditulis bahawa dia menyakini bahawa Tuhan Islam itu tidak betul, saya tak jumpa pun dalam buku Hannah itu,” katanya.

Dr Mujahid Yusof Rawa juga menegaskan bahawa isu sama ada buku Hannah Yeoh dijual di rak-rak khas Kristian seperti buku Baru Bian adalah hal permasalahan teknikal, dan beliau tidak mahu campur tangan.

Comments