Home Tempatan Jerusalem Jubilee Rai Penaklukan Tanah Palestin Oleh Zionis Israel – Shah Kirit

Jerusalem Jubilee Rai Penaklukan Tanah Palestin Oleh Zionis Israel – Shah Kirit

SHARE

KUALA LUMPUR: Program Jerusalem Jubilee Convocation kali yang ke-50 yang dibatalkan baru-baru ini sebenarnya adalah untuk meraikan kejayaan Israel-Zionis dalam menakluk Negara Islam Palestin dan lebih kepada agenda politik, kata Shah Kirit Kakulal Govindji, Presiden Global UNITY Network (UNITY).

Menurutnya lagi, Tom Hess yang merupakan pengasas Jerusalem House of Prayer for All Nations dilihat langsung tidak mengambil kira sensitiviti umat Islam di Malaysia khususnya ketika menganjurkan program itu pada bulan Ramadan yang mulia.

Shah Kirit berkata, semalam sewaktu berbuka puasa dengan beberapa kumpulan Kristian, mereka mengaku bahawa program Jerusalem Jubilee Convocation itu sebenarnya bukan berasal daripada mana-mana ajaran Kristian malah tidak ada kena mengena dengan pihak Kristian.

Kata beliau lagi, pendirian kita pula sebagai orang Islam sememangnya menolak program sebegitu dan ini sebenarnya disokong oleh beberapa kumpulan Kristian sendiri.

“Contohnya ialah, kita turut mempersoalkan kenapa perlu buat program ini di bulan Ramadan dan kedua apakah kena mengena Perayaan Sambutan Jubilee Jerusalem ke-50 ini dengan agama Kristian?”

Menurut Shah Kirit lagi, perkara ketiga yang menjadi persoalan dan penentangan kita ialah apabila program ini yang meraikan penaklukan Israel Zionis terhadap tanah air bangsa Palestin, jadi apa rasional ianya mahu diadakan di Malaysia?

Penjajahan haram Israel Zionis terhadap tanah air Palestin itu sebenarnya bukan sahaja menindas orang-orang Islam tetapi juga menindas orang-orang Kristian di Palestin.

“Ribuan orang-orang Kristian di Palestin juga menjadi mangsa kepada kekejaman tentera Israel rejim Zionis itu,” katanya.

Beliau bertanya, adakah orang Cina sedar akan perkara ini yang sebenarnya orang-orang Kristian sendiri tidak menyokong program Jubli Jerusalem 50 tahun itu disebabkan orang Kristian sendiri pun jadi mangsa pihak rejim Zionis ini selain daripada orang Islam.

“Jadi isu yang berlaku di Israel, Zionis yang menakluk tanah Palestin itu sebenarnya isu kemanusiaan,” katanya.

Program erat perpaduan diadakan

Ditanya adakah tanggungjawab menjana perpaduan ini hanya terbatas kepada orang Islam sahaja atau semua pihak, beliau menegaskan bahawa isu perpaduan ini sememangnya tidak terletak di atas bahu orang-orang Islam semata-mata.
“Perpaduan ini perlu dipupuk oleh semua bangsa, semua kaum dan semua agama di negara ini dan perlu bersama-sama sebagai rakyat Malaysia.”

Menurutnya, apabila tercetusnya sesuatu konflik kita boleh duduk bersama-sama berbincang bagaimana mencari penyelesaian terbaik.

“Ada konflik kita boleh selesaikan dan ada juga yang tidak tetapi kalau pun tidak dapat diselesaikan sekurang-kurangnya kita saling memahami antara satu sama lain.”

“Bulan Ramadan ini adalah satu bulan yang suci dan kita ambil keberkatan bulan Ramadan untuk memupuk keharmonian dan persefahaman antara satu sama lain,” katanya lagi.

Berkenaan Majlis Berbuka Puasa bersama paderi-paderi yang diadakan di Hotel Concorde Shah Alam, kelmarin, Shah Kirit berpendapat bahawa perpaduan dapat dipertingkatkan dengan mengadakan program-program sebegitu yang turut disertai Mufti Wilayah Persekutuan dan beberapa jabatan kerajaan seperti JAIS, MAIS, MAIWP, JAWI, dan YADIM.

“Jadi kita turut menjemput paderi daripada pelbagai gereja dan juga para imam dari pelbagai masjid dan surau,” katanya.

“Di Malaysia kita hidup dalam kalangan masyarakat majmuk, pelbagai agama dan budaya sudah pasti akan ada isu berbangkit dan bila ada isu berbangkitlah kita perlu mengambil peluang untuk mengubah persepsi dan cara kita ambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata, sebelum ini kita sering melatah dan menyalahkan orang lain justeru melalui program seumpama ini sekurang-kurangnya kita boleh berhubung antara satu sama lain dan menyelesaikan isu-isu berbangkit secara bersama dan itu adalah lebih baik.

Menurut Shah Kirit lagi, misalnya jika orang Kristian ada isu mereka boleh hubungi JAIS atau MAIS atau mana-mana pihak yang terlibat, dan begitu juga sebaliknya.

Comments