Home Tempatan Jemaah umrah diberi layanan terbaik sepanjang Ramadan

Jemaah umrah diberi layanan terbaik sepanjang Ramadan

SHARE

MEKAH 25 Mei – Arab Saudi memberi jaminan mereka akan menyediakan perkhidmatan terbaik kepada para jemaah ketika menjalankan ibadah umrah dan pelawat ke Masjidil Haram kelak.

Lapor portal Arab News, jaminan itu disuarakan oleh Gabenor Mekah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Haji Pusat, Putera Khaled Al-Faisal ketika menghadiri mesyuarat bersama Naib Gabenornya, Putera Bandar Abdullah bagi membincangkan persediaan kerajaan sempena bulan Ramadan bakal menje­lang.

Selain itu, Kementerian Haji turut membentangkan perancangan operasinya pada bulan Ramadan, termasuk pembangunan sistem au­­tomatik di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz dan Pelabuhan Jeddah bertujuan merekodkan segala kelemahan yang ber­laku serta melaporkan kepada sya­ri­kat umrah.

Projek itu juga akan me­nu­buhkan pemantauan secara atas talian yang dihubungkan dengan rangkaian ka­wa­lan di Mekah dan Madinah.

Di samping itu, persediaan ketika bulan Ramadan yang dilaksanakan oleh pihak pengurusan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi merangkumi mengawal selia imam, bekerjasama dengan pihak berkuasa ke­se­lamatan, menyusun aturan keluar masuk jemaah serta memastikan salinan dan terjemahan al-Quran disediakan.

Pihak pengurusan juga me­mas­tikan kebersihan, penyelenggaraan dan kemudahan, menyediakan air zamzam, menjalankan pengawasan, menjaga pin­tu masjid serta menjamin kende­raan pelbagai guna bagi mereka yang mempunyai keperluan khas secara percuma.

Perbandaran Mekah akan menyelia operasi dan mengekalkan infrastruktur seperti jalan, terowong, rangkaian lampu, tempat letak kereta, tandas awam, taman awam serta kawasan hijau.

Pelan ini juga termasuk menambah bilangan pekerja pembersihan dan kebersihan, melanjutkan waktu kerja mereka selain menyediakan pasukan sokongan tambahan untuk buruh serta peralatan sekiranya berlaku sebarang kecemasan.

UTUSAN ONLINE

Comments