Home Antarabangsa Jemaah Haji Malaysia Doakan Negara Stabil, Sejahtera

Jemaah Haji Malaysia Doakan Negara Stabil, Sejahtera

SHARE

ARAFAH, 01 September (Bernama) — Jemaah haji Malaysia yang menjalani ibadah wukuf di Arafah pada Khamis, mendoakan supaya Malaysia kekal dengan nikmat kestabilan, kesejahteraan dan keselamatan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ketika membacakan doa berkenaan, sambil diaminkan jemaah haji Malaysia, turut berharap Malaysia serta pemimpin negara dilindungi daripada segala keburukan dan keaiban.

“Hindarilah kami daripada segala kemungkaran dan kemaksiatan. Pimpinlah kami sekalian ke jalan yang engkau (Allah) reda buat selama-lamanya,” katanya semasa membacakan doa selepas menyampaikan khutbah Arafah pada hari wukuf, Khamis.

Turut hadir Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Datuk Seri Johan Abdullah dan Ketua Rombongan Haji Malaysia 1438 Hijrah Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Dalam doa tersebut turut dipohonkan supaya rakyat Malaysia dan pemimpin negara dikurniakan sifat terpuji.

“Hiasilah diri kami dengan akhlak kesopanan yang tinggi, tanamkanlah ke dalam jiwa kami rasa rendah diri,” pintanya.

Rakyat Malaysia juga diminta menzahirkan kesyukuran atas nikmat pembangunan dan kemerdekaan Malaysia.

“Kekalkanlah pembangunan yang telah kami laksanakan sama ada yang berbentuk material atau spiritual (kerohanian). Martabatkanlah negara kami dan seluruh rakyat dengan kemuliaan di sisi-Mu Allah,” mohonnya.

Jemaah haji Malaysia turut bersyukur dengan kemajuan yang diperoleh itu hasil kemerdekaan dan kebijaksanaan pemimpin yang dianugerahkan oleh Allah SWT.

“Hindarkanlah kami daripada segala rupa bentuk kemungkaran dan kemaksiatan, peliharalah kami daripada segala bencana. Kurniakanlah kami dengan hikmah dan kebijaksanaan serta ketajaman fikiran agar kami (rakyat) dapat terus berbakti kepada agama, bangsa dan negara,” mohon beliau.

Sila klik di sini untuk bacaan lanjut.

Bernama

Comments