Home Tempatan Jawi larang edar tabung derma ketika khutbah

Jawi larang edar tabung derma ketika khutbah

SHARE

KUALA LUMPUR, 10 Rejab 1438H, Jumaat – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengeluarkan arahan melarang kutipan tabung bergerak di masjid-masjid ketika khatib sedang membaca khutbah Jumaat.

Larangan itu diputuskan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan kali ke-100, yang bermesyuarat pada 27 Februari lalu.

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu surat bertarikh 30 Mac yang dikeluarkan Jawi kepada masjid-masjid di seluruh Wilayah Persekutuan.

Jawi mencadangkan supaya tabung kutipan derma itu digerakkan selepas solat Jumaat.

Antara lain ialah petugas bergerak di hadapan jemaah bagi setiap saf yang membawa karung atau bekas selepas solat Jumaat, perlu dilakukan sebelum azan.

“Dalam kutipan secara bergerak dengan petugas, hendaklah mengelakkan daripada melintasi orang yang sedang solat.

“Perlu diambil kira tempat yang sesuai ketika memungut derma untuk masjid,” menurut surat edaran itu.

Dalam pada itu, khatib juga boleh menggalakkan derma kepada masjid dan mendoakan kepada penderma pada akhir khutbahnya sebagai salah satu kempen untuk menggalakkannya.

“Kempen melalui slogan dan fadilat derma di skrin LED masjid kecuali ketika khutbah dan solat dijalankan,” katanya.

Surat arahan yang turut disahkan Mufti Wilayah Persekutuan, merangkap pengerusi mesyuarat jawatankuasa berkenaan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, diputuskan selepas merujuk ketetapan termasuk yang dibuat Jabatan Mufti Johor.

Jabatan Mufti Johor melalui surat arahan bertarikh 1 Januari lalu menegah dan melarang menggerakkan tabung ketika khatib sedang berkhutbah kerana perbuatan itu adalah suatu perkara yang berlawanan dengan apa yang dituntut ke atas jemaah iaitu mendengar khutbah dengan diam.

Comments