Home Tempatan Jauhi rasuah, salah guna kuasa – Sultan Kedah

Jauhi rasuah, salah guna kuasa – Sultan Kedah

SHARE
Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah berkenan mengurniakan Darjah Seri Setia Sultan Abdul Halim Muadzam Shah kepada Tengku Maliha Tengku Ariff dalam Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah dan Bintang-Bintang Kebesaran sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-89 Sultan Kedah di Istana Anak Bukit, Alor Setar, semalam.

ALOR SETAR 15 Jan. – Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah hari ini mengingatkan semua pentadbir dan jentera pentadbiran negeri supaya menjauhi gejala rasuah dan salah guna kuasa bagi me­ngukuh­kan integriti pentadbiran ne­geri ini.

Baginda bertitah, jentera pen­tadbiran bukan sahaja perlu dilihat bersih tetapi juga perlu mengamalkan nilai bersih daripada segala amalan korupsi dan nepotisme, bagi membolehkan masyarakat umum yakin dengan ketelusan pentadbiran.

“Pentadbir dan jentera pentadbiran perlulah berbuat sesuatu yang betul dengan cara yang betul mengikut kaedah yang betul.

“Oleh demikian, jauhilah ama­lan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan kerana ia adalah perosak,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah dan Bintang-Bintang Kebesaran sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-89 Sultan Kedah di Istana Anak Bukit, di sini hari ini.

Turut berangkat Sultanah Kedah, Tuanku Hajah Haminah Hamidun; Raja Muda Kedah, Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah dan Raja Puan Muda Kedah, Tengku Maliha Tengku Ariff.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah.

Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah mendahului senarai 50 penerima darjah kebesaran sempena hari keputeraan ba­ginda itu.

Tuanku Abdul Halim bertitah, menjauhi gejala yang merosakkan itu merupakan salah satu daripada tiga sifat utama jentera pentadbiran, selain komited dengan tugas berpaksikan kepada pencapaian dan bertunjangkan inovasi.

Sultan Kedah bertitah, dari perspektif lain, baginda juga ingin melihat agar sistem pentadbiran dan golongan pelaksana dasar lebih proaktif dan bukan semata-mata mengamalkan sikap responsif.

“Ia menuntut perubahan untuk menjadi pentadbir yang berjiwa besar, menyelami isu dan masalah rakyat, tidak terikat dengan menjadi pegawai barisan depan semata-mata, sebaliknya mampu berfikir dan melaksanakan tindakan di luar kotak yang selaras dengan keperluan masa,” titah baginda.

“Kepada rakyat, baginda menggesa agar semua mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku di sesetengah negara yang hancur akibat daripada peperangan dan permusuhan sesama sendiri.

“Semua rakyat mempunyai hak di atas negara ini dan begitu juga kita semua mempunyai tanggungjawab yang harus dilaksanakan untuk menjamin bahawa keutuhan dan keamanan negeri dan negara harus dipertahankan,” kata baginda.

Utusan Malaysia

Comments