Home Tempatan JATI Mengalu-alukan Perjuangan UMMAH

JATI Mengalu-alukan Perjuangan UMMAH

SHARE

PUTRAJAYA: Pertubuhan JATI mengalu-alukan penubuhan Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) yang menghimpunkan lebih daripada 100 NGO Melayu dan Islam dengan tujuan untuk mengukuhkan kedaulatan Islam dan menyelesaikan masalah-masalah yang membelenggu umat Islam Malaysia.

Timbalan Presiden Pertubuhan JATI Dr Mohd Fauzi Shaffie berkata, beliau percaya UMMAH ditubuhkan dengan hasrat murni demi memperjuangkan kepentingan umat Islam negara ini. Beliau yang turut menghadiri majlis tersebut menegaskan perkara berikut:

“Gerakan kuasa ketiga dalam percaturan kuasa negara ini memang amat dinantikan oleh umat Islam, terutama dalam keadaan umat berada di simpang antara dua tawaran yang seimbang. Pada hemat  JATI, UMMAH perlu berevolusi menjadi gerakan melampaui isu dan percaturan kuasa politik, malah harus ada hasrat jangka panjang dalam membantu membina umat dalam konteks ekonomi dan juga sosial.”

“Kewujudan pelbagai peringkat dan bidang kemahiran pada kalangan ahli UMMAH, merentas sempadan bangsa, parti politik dan persatuan itu seharusnya menjadi aset utama badan NGO tersebut yang boleh digembeling untuk menjana sesuatu usaha besar yang boleh menambaik keadaan umat Islam negara ini,” tambah Dr Fauzi lagi.

Menurut Dr Fauzi, pertubuhan JATI yakin bahawa UMMAH boleh bergerak lebih ampuh mendepani cabaran umat daripada pelbagai punca dalam persekitaran walaupun tugas memimpin dan mengemudi badan seperti ini adalah sukar. Namun, dengan niat luhur dan kesediaan untuk bertolak ansur, UMMAH akan terus ke hadapan.

Gerakan Pembela UMMAH dilancarkan pada hari Khamis, 20 Julai 2017 di ibu pejabat Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Comments