Home Tempatan Jangan tuduh imam berniat menghalalkan yang haram, kata Mufti Perlis

Jangan tuduh imam berniat menghalalkan yang haram, kata Mufti Perlis

SHARE

MUFTI Perlis Dr Mohd Asri Zainal Abidin yang dituduh menghalalkan zina hari ini berkata, Islam membenarkan perbezaan pendapat dan umat Islam dibolehkan menyokong pandangan atau tidak bersetuju dengan ulama yang lain.

Dalam catatan Facebooknya, Asri berkata, ianya dengan syarat menyokong atas dasar hujah yang diyakini, bukan sekadar emosi atau pun taksub. Beliau bagaimanapun tidak menyebut nama Mufti Perak Harussani Zakaria.

“Kita boleh mengkritik pandangan, tetapi tidak boleh menghina para imam yang muktabar dengan menuduh mereka berniat ingin menghalalkan apa yang Allah haramkan atau seumpanya.

“Tuduhan seperti itu keterlaluan jika keluar daripada mulut seseorang. Orang yang mengucapkan demikian, sama ada dia tidak tahu tentang keluasan khilaf dalam bab yang diperkatakan, atau pun dia seorang yang kurang beradab terhadap para imam.

“Jika kita tak bersetuju, sebut saja tidak bersetuju dengan pendapat ini, atau pun menganggap ia pendapat yang marjuh atau lemah.Jangan kita kata: ini meghalalkan yang haram dan seumpamanya,” kata Asri.

Harussani pada awal hari ini menuduh Asri seperti mahu menghalalkan zina apabila menyokong penghakiman Mahkamah Rayuan baru-baru ini berhubung anak tidak sah taraf.

Katanya, Malaysia tidak perlu “melawan arus” berhubung anak tidak sah taraf kerana perkara itu sudah diputuskan ulama Islam terdahulu.

Asri berkata, “Ali bin ‘Asim meriwayatkan daripada Abu Hanifah (Imam Mazhab Hanafi) beliau berkata: ‘Jika seseorang lelaki berzina dengan seorang perempuan lalu mengandung disebabkan perzinaan itu, aku berpendapat TIDAK SALAH untuk dia berkahwin dengannya dan menutupinya (aib) dan anak itu dikira anaknya.”

Katanya lagi, “Para ulama ijmak (sepakat tanpa kecuali) bahawa jika anak dilahirkan dalam keadaan isteri bersuami, kemudian ada orang lain mendakwa itu anaknya, anak itu tidak akan dinasabkan kepada yang mendakwa. Hanya para ulama berkhilaf (berbeza pendapat tentang nasab) apabila anak itu lahir dalam keadaan perempuan tidak mempunyai suami.”

Beliau menjelaskan lagi, pendapat yang seiras dengan apa yang diriwayatkan daripada Abu Hanifah ini juga ditulis para ulama daripada tokoh-tokoh sebelum dan selepas beliau iaitu ‘Urwah bin al-Zubair, al-Hasan al-Basri, Sulaiman bin Yasar, Ishaq bin Ruhuyah (boleh disebut Ruhawaih), Ibn Taimiyyah, Rasyid Ridha, Dr Yusof al-Qaradawi dan ramai lagi.

“Jadi, apakah kita ingin menuduh mereka menghalalkan zina? Ataupun kita dangkal dalam membaca hujah dan alasan pihak lain?” kata Asri.

Mahkamah Rayuan pada minggu lepas menetapkan bidang kuasa ketua pengarah JPN adalah sivil dan kerana itu tertakluk kepada undang-undang sivil.

Sehubungan itu, JPN perlu merujuk kepada Seksyen 13A (2) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (BDRA) untuk membuat keputusan berkaitan nama keluarga atau ayah kanak-kanak.

Penghakiman itu yang meliputi anak tidak sah taraf Islam dan bukan Islam dilakukan susulan rayuan yang difailkan kanak-kanak berusia tujuh tahun yang dilahirkan lima bulan 24 hari (atau lima bulan dan 27 hari mengikut kalendar Islam) selepas perkahwinan ibu bapanya.

Kanak-kanak itu didaftarkan di JPN dua tahun selepas lahir dan kedua-dua ibu bapanya memohon untuk meletakkan nama ayahnya “MEMK” tetapi JPN mendaftarkan anak itu kepada “bin Abdullah”. – 01 Ogos, 2017.

Comments