Home Tempatan Jangan promosi perniagaan dengan unsur LGBT

Jangan promosi perniagaan dengan unsur LGBT

SHARE

BANDAR BARU NILAI, 7 Rejab 1438H, Selasa – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut mengambil pendekatan menegur sikap segelintir peniaga yang menggunakan unsur lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) untuk mempromosikan perniagaan mereka.

Beliau berkata, penggunaan unsur seolah-olah menyokong dan menggalakkan LGBT bukan sahaja tidak secocok dengan Islam, malah tidak selari dengan budaya timur masyarakat negara ini.

“Sepatutnya peniaga lebih bijak ketika mempromosikan perniagaan supaya tidak bertentangan dengan pegangan masyarakat secara keseluruhan.

“Pada masa sama, masyarakat perlu lebih matang dan tidak menerima apa sahaja yang disebarkan dalam laman sosial,” katanya dalam sidang media selepas majlis penutup Ihtifal Institusi Pengajian Tinggi ASEAN 2017 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini, hari ini.

Beliau berkata, penggunaan nama yang mempunyai kaitan dengan LGBT mungkin tidak salah dari segi undang-undang, tetapi dari segi moral, perbuatan itu seperti menyokong LGBT.

“Sebagai anggota masyarakat yang bertanggungjawab, kita perlu menghalang sebarang agenda yang mempromosikan LGBT,” katanya.

Comments