Home Tempatan Jangan pertikai jabatan agama tahan pasangan atas motor

Jangan pertikai jabatan agama tahan pasangan atas motor

Terengganu melaksanakan undang-undang menahan pasangan bukan mahram yang menaiki motosikal bersama dan dikenakan tindakan jika mengulangi kesalahan sama.

SHARE

PETALING JAYA: Undang-undang yang membenarkan pasangan bukan muhrim berkongsi motosikal ditahan dan dikenakan di Terengganu, dikuatkuasakan selepas ia diluluskan sebulat suara di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Peguam syariah Musa Awang berkata Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bertindak selaras dengan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 (Pindaan 2015).

“Tindakan menahan pasangan bukan mahram menaiki motosikal ada dalam peruntukan baharu pindaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 (Pindaan 2015).

“Kesalahan itu menjadi undang-undang di bawah peruntukan mahkamah syariah Terengganu, malah ia tidak boleh dicabar.

“Pihak yang ingin mempertikaikan perkara itu perlu membuat kajian terlebih dulu sebelum mempersoalkannya,” katanya kepada FMT.

Minggu lalu, lebih 52 individu berusia antara 16 hingga 42 tahun, ditahan dalam “Op Bonceng” di Batu Buruk, Terengganu dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis atas kesalahan “berkelakuan tidak sopan di tempat awam”.

Sementara itu, peguam hak asasi Saiful Izham Ramli berkata walaupun undang-undang membenarkan majlis agama Islam negeri meminta bantuan JPJ dan polis untuk melakukan tangkapan itu, mereka perlu memperincikan enakmen mana yang digunakan.

Katanya, jika tiada enakmen yang jelas di bawah undang-undang syariah, mangsa berhak mencabar tindakan itu di mahkamah.

“Mereka perlu sedar ia mungkin salah dan boleh dicabar, kecuali ada peruntukan yang jelas dan setahu saya tiada peruntukan sebegitu,” katanya kepada FMT.

Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 menyenaraikan 12 kesalahan bermula dari Seksyen 25 hingga Seksyen 36 melibatkan kesalahan berhubung dengan kesusilaan.

Tindakan kerajaan negeri Terengganu meminda Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah bukanlah perkara baharu kerana pada 24 November 2016, mereka turut membuat pindaan bagi kesalahan tidak menunaikan solat Jumaat 3 kali berturut-turut tanpa alasan munasabah yang boleh didenda RM3,000 dan penjara maksimum 2 tahun.

Free Malaysia Today

Comments