Home Tempatan Jangan percaya pakej umrah terlalu murah – MATTA

Jangan percaya pakej umrah terlalu murah – MATTA

SHARE

Kuala Lumpur: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mempercayai sebarang pakej umrah yang ditawarkan oleh syarikat mahupun individu yang bertindak sebagai orang tengah jika harga yang ditawarkan jauh lebih murah dari harga pasaran, kata Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) dalam satu kenyataan.

Naib Presiden Umrah dan Haji MATTA, Shahrulnezam Mohd Daud berkata, jemaah seharusnya berhubung terus dengan syarikat pelancongan yang mempunyai Lesen Khas Umrah (LKU) dan tidak berurusan dengan orang tengah.

“Jemaah harus membandingkan dahulu harga yang ditawarkan dan tidak mempercayai tawaran harga yang jauh lebih murah,” katanya di sini, hari ini.

Beliau turut menggesa pihak polis meningkatkan penguatkuasaan undang-undang terhadap individu yang bertindak sebagai orang tengah.

Dalam pada itu Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang menggesa pihak Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menggantung lesen penggendali pelancongan yang menipu dan bertukar pelanggan.

“Setiap ahli MATTA harus mematuhi Kod Etika dan sesiapa yang didapati terlibat dalam penipuan akan dibuang keahlian,” katanya

Kenyataan itu sebagai mengulas laporan bahawa sejumlah 453 jemaah umrah Malaysia gagal pulang ke negara sejak 22 Disember, seperti dijadualkan selepas terkandas dua kali di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad bin Abdulaziz di Madinah.

Kumpulan itu telah ke Arab Saudi pada 11 Disember lalu  selepas membayar pakej umrah yang ditawarkan sebuah agensi pelancongan.

Sila klik di sini untuk bacaan lanjut.

Comments