Home Tempatan Jangan Pandang Sepi Nasib Rakyat Yaman – Ahmad Zahid

Jangan Pandang Sepi Nasib Rakyat Yaman – Ahmad Zahid

SHARE

KUALA LUMPUR, 01 April (Bernama) — Ketika isu-isu berkaitan Syria, Palestin dan Myanmar terus mendapat perhatian dunia, krisis yang melanda Yaman tidak harus dilupakan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata konflik berdarah di Yaman, yang bermula pada 2014, telah meragut dan mencederakan berpuluh-puluh ribu orang dan menyebabkan kemusnahan di negara itu.

Memetik laporan Pertubuhan Bangsa Bersatu, Ahmad Zahid berkata sehingga 3.5 juta daripada lebih 27 juta rakyat Yaman menjadi pelarian di tanah air sendiri sementara tujuh juta termasuk dua juta wanita dan kanak-kanak berada di ambang kebuluran.

Ketika berucap pada “Malam Amal Yaman” anjuran Agensi Bantuan Malaysia (MRA) di sini malam ini, beliau memuji organisasi itu kerana menghantar bantuan kemanusiaan ke negara tersebut sejak 2015.

“Bantuan meliputi bekalan perubatan, makanan, pakaian dan selimut serta air minum bernilai RM600,000 telah berjaya dihantar kepada mangsa,” kata beliau. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan.

Ahmad Zahid berkata MRA juga telah menghantar pasukan bantuan yang tiba di Yaman pada 10 April dalam misi bantuan yang berterusan ke negara itu.

“Saya percaya bahawa organisasi bantuan kemanusiaan seperti MRA boleh memainkan peranan membawa kelegaan kepada mereka yang menghadapi ancaman di Yaman dan meningkatkan kesedaran tentang isu-isu penting mengenai tragedi kemanusiaan,” kata Ahmad Zahid.

Beliau berharap pihak-pihak yang terlibat dalam konflik itu dapat bekerjasama untuk mengembalikan keamanan di Yaman.

Bernama

Comments