Home Tempatan Jangan mudah tertipu

Jangan mudah tertipu

SHARE
HASRIZAL HASAN

Menunggang agama untuk meraih keuntungan itu tanggapan paling mudah bagi mereka yang sewenang-wenangnya menggelar diri sebagai pengamal perubatan Islam.

Tidak cukup dengan itu, individu sedemikian turut mendakwa diri mampu menyembuhkan pelbagai penyakit menerusi kaedah perubatannya.

Justeru itu, akan menjadi alasan bagi mereka mengenakan bayaran tinggi malah lebih mahal daripada rawatan konvensional seperti di klinik atau hospital.

Pendirian sedemikian ternyata sebenarnya bertentangan dengan kaedah atau asas dalam rawatan Islam.

Hal tersebut dijelaskan Ahli Jawatankuasa Biro Dakwah Pusat Rawatan Islam Darussalam, Hasrizal Hasan yang memberitahu, masyarakat seharusnya tidak mudah tertipu dengan rawatan perubatan alternatif palsu.

“Sebagai seorang yang ingin mendapatkan rawatan Islam, mereka harus faham tentang kaedah dan prinsip dalam perubatan tidak bertentangan dengan akidah dan syariah.

“Terdapat lima prinsip dalam perubatan Islam sepatutnya dipegang pengamalnya iaitu akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berteraskan kepada al-Quran dan hadis; usaha; menepati syariat dan berakhlak; doa serta tawakal.

“Jika pengamalnya tidak menepati lima prinsip tersebut maka kaedah perubatannya diragui termasuklah mengenakan bayaran tinggi atau pengeras,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia Sabtu.

Dalam pada itu, dia yang juga Pegawai Kanan Hal Ehwal Islam, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) menjelaskan, tidak ada kaedah ‘menyeru’, ‘meminta izin khadam’, jampi serapah syirik yang tidak difahami, pengeras dan seumpamanya dalam perubatan Islam.

“Sebagai seorang Islam, kita harus tahu batasan dalam pergaulan antara lelaki dan wanita. Begitu juga dalam kaedah rawatan.

“Sentuhan antara lelaki dan wanita hanya dibenarkan ketika darurat pada kadar yang perlu sahaja. Sebagai contoh, menggunakan jari untuk menyentuh bahagian kepala, belakang badan dan kaki tetapi beralas.

“Seperti berlaku dalam kes penipuan kebelakangan ini, perawat mencabul pesakit, pukau dan membaca mantera syirik dalam bahasa yang tidak difahami. Ia merupakan kelakuan tidak berakhlak dan dilarang oleh syariah,” tegasnya.

Menurutnya, Pusat Rawatan Islam Darussalam pernah memecat salah seorang perawatnya yang tidak berakhlak ketika merawat pesakit baru-baru ini.

utusan online

Comments