Home Tempatan Jangan Lepaskan The Star Tanpa Hukuman – PERKASA

Jangan Lepaskan The Star Tanpa Hukuman – PERKASA

SHARE

KUALA LUMPUR: “Akhbar The Star ini memang biadap, dan tidak sepatutnya mereka dibiarkan terlepas tanpa ada sebarang hukuman setimpal,” tegas Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Dr Amini Amir Abdullah ketika dihubungi Menara.my di sini, semalam.

Menurutnya, tajuk akhbar The Star yang disiarkan minggu lalu, jelas menunjukkan mereka tidak langsung mengambil kira sensitiviti umat Islam di negara ini.

“Sepatutnya, headline itu perlu disemak terlebih dahulu oleh pihak atasan termasuk Ketua Editor dan Ketua Pengarang yang bertanggungjawab, ini tidak main pakai hentam saja,” katanya.

Beliau menambah bahawa hal ini jelas menunjukkan mereka sedang mencabar kewibawaan dan kesabaran orang Islam dalam negara ini.

Dr Amini Amir berkata, “Takkanlah Editor, Pengarang termasuk Pengarah Urusannya yang lahir di Malaysia dan memiliki kewarganegaraan terlalu bengap untuk faham dan sengaja meletakkan gambar latar belakang di muka depan akhbar bertajuk ‘Malaysian Terrorist Leader’ dengan gambar umat Islam sedang solat berjemaah.

“Tidakkah perkara itu mempunyai muslihat yang terancang dengan agenda tersembunyi dan sengaja mahu meletakkan label tertentu kepada umat Islam?” katanya.

Beliau berkata lagi, “Sudah sampai masa dan semestinya tindakan yang setimpal harus dikenakan ke atas The Star dan kita harap KDN ambil tindakan lebih tegas terhadap Ketua Pengarang dan Pengarang Tetap termasuk Pengarah Urusannya.”

Menurut beliau, jika tidak ada apa-apa tindakan dilakukan dan pihak The Star terus terlepas, pihaknya akan terus mendesak agar diadakan satu tindakan tegas termasuk mengadakan satu sidang media.

“Selain itu pihak Perkasa turut akan membuat laporan polis berhubung isu The Star yang sangat jelas mahu mencabar umat Islam di negara ini dan kita tidak akan biarkan mereka terlepas kali ini sebelum mendapat pengajaran yang setimpal.”

Tambahnya lagi, “The Star ini telah berkali-kali menunjukkan sikap melampau mereka dan keterlaluan dalam menyebarkan berita yang berbaur perkauman dan menanam sentimen kebencian di kalangan rakyat Malaysia.”

Menurutnya, “Tidak lojik langsung jika tidak dibuat semakan sebelum penyiaran berita biadap itu dilakukan, mereka cuba memutar belit fakta termasuk menafikan tohmahan yang dilemparkan seolah-olah kita tidak tahu prosedur penyiaran melibatkan hal-hal berkaitan media ini yang sepatutnya melibatkan ramai pihak yang terlibat dalam memastikan kredibiliti sesuatu berita sebelum tersiar.”

“Sepatutnya, disemak dan diperhatikan secara terperinci termasuk berbincang akan risiko setiap penyiaran dahulu, bukan main cetak sesuka hati begitu sahaja jika tidak ada niat untuk mencabar umat Islam,” katanya.

Beliau berkata, pasti Ketua Pengarang dan Pengarang termasuk Pengarah Urusan juga bersekongkol dan penuh agenda tersembunyi tanpa ada rasa tanggungjawab.

“Fitnah ini telah tersebar ke seluruh Malaysia dan tidak boleh diselesaikan dengan hanya permohonan maaf semata-mata ataupun surat tunjuk sebab sahaja,” tegas beliau.

Comments