Home Tempatan Jangan layan orang jahil seperti G25, kata Ridhuan Tee

Jangan layan orang jahil seperti G25, kata Ridhuan Tee

SHARE

BANGI, 8 Jamadilakhir 1438H, Selasa – Ahli Parlimen muslim tidak perlu melayan desakan orang jahil seperti G25 yang mahukan mereka tidak menyokong atau menolak RUU355, kata pendakwah bebas, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah.

Berasa jengkel dengan kumpulan yang kononnya menggelar diri mereka profesional Melayu itu, Ridhuan Tee berkata, bekas pegawai-pegawai kerajaan pencen yang sudah tidak ada kerja itu mungkin takut mereka atau anak mereka tertangkap atau dikenakan hukuman mengikut RUU355 yang akan dipinda nanti.

“Saya amat yakin ada segelintir mereka dan anak-anak yang masih membawa tabiat lama seperti minum arak, berjudi, main perempuan dan sebagainya. Dengan terlaksananya RUU355 ini, mereka takut akan terkena percikan hukuman tersebut.

“Sebab itu mereka begitu bersungguh-sungguh menentangnya dengan menggunakan hujah-hujah lain bagi menjustifikasikan tindakannya .

“Logiknya, setiap warga Malaysia tidak perlu takut dengan hukuman berat jika mereka tidak melakukan kesalahan. Banyak hukuman berat yang sedang berjalan hari ini, seperti hukuman gantung, kenapa tidak ditentang? Kenapa apabila ada perkara berkaitan Islam ditentang? Apa sebenarnya yang ditakutkan? Mereka ini sebenarnya Islam ke tidak?,” katanya ketika dihubungi ismaweb.net, hari ini.

Semalam, menerusi surat yang disiarkan dalam sebuah portal liberal, G25 merayu Ahli Parlimen supaya tidak menyokong atau membatalkan RUU355 yang akan dibahas di Dewan Rakyat.

Kumpulan itu juga bimbang langkah meninggikan taraf Mahkamah Syariah akan mencelarukan penguatkuasaan undang-undang.

Musykil dengan kebimbangan kumpulan pegawai pencen yang dianggotai seramai 25 orang itu, Ridhuan Tee berkata, sepatutnya undang-undang itu tidak perlu ditakuti sekiranya mereka adalah dalam kalangan yang tidak berbuat salah.

Hanya yang berbuat salah sahaja takut kepada undang-undang, katanya.

“Inilah agak saya yang menjadi G25, yang saya tidak pasti berdaftar atau tidak, begitu menentangnya. Jika pertubuhan ini tidak berdaftar, maka lagilah tidak perlu dilayan. Jika berdaftar, apakah hak mereka menggunakan G25? Adakah G itu mewakili Government. Mereka tidak layak?

“Mereka adalah orang pencen yang tidak ada kerja. Jika 25 itu menjadi nombornya, apakah mereka benar-benar mewakili 25 orang? Jika benar, kenapa kita perlu layan cakap-cakap 25 orang yang sudah tidak ada kerja? Saya cadangkan kumpulan ini, dekatkanlah diri dengan tikar sejadah. Kalau tidak tahu, belajarlah mengucap dulu.

“Bimbang juga, bila kejahilan sampai ke tahap murakab, ia akan menjadikan kita terkeluar daripada landasan. Saya tidak kata RUU355 itu seratus peratus Islamik atau tidak menyokong RUU355 menyebabkan kita terkeluar, tetapi tindak-tanduk kita sudah boleh menunjukkan,” katanya.

Comments