Home Tempatan Jangan jadikan masjid medan berpolitik, titah Sultan Selangor

Jangan jadikan masjid medan berpolitik, titah Sultan Selangor

SHARE

RAWANG: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan pemimpin politik tidak menjadikan masjid sebagai medan berpolitik.

Baginda bertitah, masjid seharusnya dijadikan tempat untuk memperbanyakkan aktiviti demi kebaikan umat Islam dan sebagai lambang kekuatan Islam.

“Janganlah kita menyalahgunakan masjid untuk kepentingan diri sendiri, terutama dalam hal-hal keduniaan.

“Beta tidak berkenan sekiranya terdapat sesiapapun menggunakan masjid untuk berpolitik, mengadakan ceramah yang tidak berlandaskan garis panduan ditetapkan serta mempengaruhi umat Islam ke arah sesuatu yang merosakkan atau menyesatkan,” titah baginda ketika merasmikan Masjid Perodua di Sungai Choh Rawang, hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta 2 exco PAS negeri, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib.

Pada masa sama, Sultan Sharafuddin menyeru umat Islam sentiasa bersatu padu dan tidak bertelagah sesama sendiri.

“Beta menyeru umat Islam Melayu sentiasa bersatu padu, tolong-menolong dan jangan bertelagah, berselisih faham serta memfitnah satu sama lain.

“Sekiranya umat Islam Melayu sentiasa berpecah belah, maka tiada siapa yang untung, tetapi umat itu sendiri yang akan rugi, mundur dan ketinggalan dari segi kemajuan,” katanya.

Pada 14 Februari lalu, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang juga ketua Umno Bahagian Sungai Besar membawa 16 van jenazah bagi membantah apa yang didakwanya penyelewengan peruntukan Skim Mesra Usia Emas dan Wang Khairat Kematian Selangor.

Penyokongnya turut mengusung keranda dan cuba memasuki perkarangan pejabat setiausaha kerajaan negeri Selangor di Shah Alam. Tindakan itu dikritik pelbagai pihak.

Pada 23 Februari lalu, Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohd Munir Bani mengeluarkan kenyataan meminta ahli jawatankuasa kariah atau masjid di Selangor menjaga dengan baik kenderaan jenazah di bawah seliaan masing-masing dan tidak menyalahgunakan kenderaan itu.

“Baginda tidak berkenan kenderaan jenazah disalah guna selain daripada urusan membawa jenazah seperti disewa untuk membuat demonstrasi atau kegunaan lain yang tiada kena mengena dengan urusan pengendali jenazah.”

Free Malaysia Today

Comments