Home Tempatan Jangan gadai kedaulatan negara – Raja Perlis

Jangan gadai kedaulatan negara – Raja Perlis

SHARE
ARAU 7 May 2015. Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah di Majlis Pelantikan Dan Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis yang diadakan di Balai Menghadap, Istana Arau. NSTP/Eizairi Shamsudin

KANGAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, mengingatkan ahli politik tidak sesekali membuka ruang kepada pembabitan dan campur tangan kuasa luar yang hanya akan membawa lebih banyak keburukan dan kemusnahan kepada negara.

Baginda bertitah, konflik politik yang terjadi di banyak negara Islam yang memberi ruang kepada kuasa luar perlu dijadikan sebagai pedoman dan pengajaran.

“Kita tidak mahu negeri yang kita bangunkan bersama ini hancur kerana perbalahan sesama sendiri. Jangan kita menggadaikan kedaulatan negara yang merdeka ini semata-mata untuk memuaskan nafsu dan kepentingan peribadi.

“Beta tidak mahu situasi kalah jadi abu, menang jadi arang terjadi pada negeri dan negara kita,” titah baginda, hari ini.

Baginda bertitah demikian pada perasmian pembukaan penggal kelima, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis yang ke-13, di Kompleks DUN, di sini.

Raja Perlis turut melahirkan kebimbangan dengan elemen sektarian mula menapak di negara.

“Kita menyaksikan bagaimana masyarakat Islam dan bukan Islam berkonflik dan berpecah kerana perbezaan fahaman dan ideologi agama. Lebih serius lagi sekiranya wujud konflik sesama masyarakat Islam sendiri.

“Beta bimbang jika elemen sektarian mula menapak, ia akan menjerumuskan masyarakat ke dalam kancah konflik sektarian seperti yang berlaku di banyak negara Islam sekarang ini,” titah baginda.

Berita Harian

Comments