Home Tempatan Jangan calar imej Islam menerusi tindakan penguatkuasaan – Sultan Nazrin

Jangan calar imej Islam menerusi tindakan penguatkuasaan – Sultan Nazrin

SHARE
IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini menegur perbuatan individu dan pendirian institusi tertentu di negara ini yang membenarkan petugas mereka melakukan pelbagai tindakan atas nama melindungi Islam tetapi sebaliknya mencemarkan imej agama suci itu.
Titah baginda, tindakan seperti kaedah soal siasat yang mengandungi elemen seksaan dan deraan bagi tujuan menguatkuasakan peraturan demi melindungi nama Islam telah menyebabkan kesucian serta nama agama suci itu di negara ini semakin tercalar.”Malaysia adalah sebuah negara yang harum namanya lagi dihormati dalam kalangan negara-negara Islam dan bukan Islam kerana amalan kesederhanaan beragama.

“Kata-kata penghinaan yang diungkapkan dan tindakan-tindakan berunsur dendam, ugutan, tangkapan, tahanan dengan kaedah soal siasat yang mengandungi elemen-elemen seksaan dan deraan telah memberi imej sangat negatif terhadap cara Islam diamalkan di negara ini,” titah baginda ketika merasmikan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak di sini, hari ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Sehubungan itu, Sultan Nazrin mahu perbuatan mencalar kesucian dan nama baik Islam tersebut mesti dihentikan dan dibanteras secara tegas.

Titah baginda, Allah SWT tidak sama sekali menurunkan sebarang kuasa kepada sesiapa pun untuk menghukum seseorang itu sebagai ahli syurga mahupun ahli neraka.

Baginda bertitah lagi, Islam juga tidak mengizinkan perbuatan memulau mana-mana kumpulan atau memutuskan silaturahim dengan mana-mana individu, hingga ke tahap penghinaan tidak mahu menguruskan jenazah seseorang yang telah meninggal dunia, hanya kerana perselisihan tafsiran dan pandangan.

“Perbuatan-perbuatan sedemikian adalah perbuatan melampau dan keterlaluan yang sangat bercanggah dengan sifat-sifat mulia yang dipamerkan Rasulullah SAW.

“Islam sebaliknya menganjurkan kesederhanaan. Oleh itu majoriti umat yang berpegang kepada amalan kesederhanaan, wajib bangun bersuara, dan suara majoriti ini jangan sama sekali merelakan untuk ditenggelami kumpulan ekstrem yang minoriti.

“Umat hendaklah mengembalikan azam dan tekad untuk mendekatkan ummah dengan Allah SWT, menjadikan Islam pakaian luaran dan pegangan dalaman, melalui pendekatan dakwah secara berhikmah, melalui pengajaran baik secara contoh – secara teladan, serta melalui perdebatan yang tertib, sopan lagi beradab, ” titah baginda.

Sila klik di sini untuk bacaan lanjut.

Comments