Home Tempatan Jangan beri lesen jual arak jika pekerja orang Islam

Jangan beri lesen jual arak jika pekerja orang Islam

SHARE

BANGI, 1 Ramadan 1438H, Sabtu – Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menggesa pihak berkuasa memperketatkan pengeluaran lesen menjual minuman memabukkan, termasuk mengenakan syarat khusus bahawa pekerja yang terbabit membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli, hendaklah tidak terdiri daripada umat Islam.

Presiden PPMM, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, setiap hari banyak permohonan mendapatkan permit menjual minuman memabukkan dibuat dengan mensyaratkan pemohon mendapatkan permit terlebih dahulu dan mengiklankan hasratnya, bagi mengetahui sama ada terdapat bantahan orang ramai atau sebaliknya.

Objektif syarat itu, katanya, memang baik bagi mengawal, memantau dan menyelia penjualan minuman memabukkan secara berleluasa dan ia sejajar kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Namun, hakikatnya masih banyak terdapat kedai menjual minuman memabukkan secara terbuka. Malah ia amat mudah diperoleh walaupun oleh orang yang beragama Islam. Natijahnya, objektif peraturan disebut di atas tidak kesampaian,” katanya.

Beliau berkata, adalah amat tidak adil kepada pekerja beragama Islam yang terpaksa membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman memabukkan bagi pihak majikannya, sedangkan hasilnya pihak majikan mendapat keuntungan, manakala pekerja yang terpaksa menjual arak itu pula menanggung risiko melakukan jenayah syariah.

Katanya, sudah tentu ia tidak adil dan memudaratkan umat Islam secara keseluruhannya, apatah lagi jika majikan itu bukan Islam yang menikmati imuniti daripada Enakmen Jenayah Syariah itu.

“Sudah tentu ada pula mengatakan syarat disyorkan di atas hanya akan menyebabkan orang Islam menjadi pilihan terakhir sebagai pekerja dan akan meningkatkan kadar pengangguran orang Islam,” katanya.

Menjawab persoalan ini, Zainul Rijal berkata, sebenarnya kita perlu menimbang neraca manakah ingin kita gunakan bagi mencapai sesuatu kesimpulan, sama ada menggadai agama demi mendapat rezeki yang sudah tentu tidak diberkati Allah atau tidak.

Sehubungan itu Zainul Rijal berharap umat Islam tidak lagi berdiam diri dan sebaliknya, memperjuangkannya bersungguh-sungguh, termasuk mencabarnya di mahkamah, jika kebebasan mengamalkan agama Islam dinafikan.

Umat Islam di Malaysia, katanya, perlu tahu hak dan tanggungjawab mereka sebagai seorang muslim di negara ini.

“Sudah sampai masanya bagi pekerja-pekerja Islam diberi penghormatan sewajarnya mengamalkan agamanya dengan tidak dipaksa menjual arak, memberikan pilihan kepada pekerja Islam memakai pakaian menutup aurat, menunaikan solat tanpa didenda atau sebagainya dan tidak dipaksa memegang benda-benda diharamkan.

“Sebenarnya ini kebebasan mengamalkan agama yang dijamin Perlembagaan Persekutuan. Malangnya apabila kebebasan ini dinafikan kepada orang Islam, orang Islam hanya berdiam diri dan tidak memperjuangkannya secara bersungguh-sungguh termasuk mencabarnya di mahkamah,” katanya.

Comments