Home Tempatan Jamil Khir: Sebat cara syariah pernah dilaksanakan

Jamil Khir: Sebat cara syariah pernah dilaksanakan

Masyarakat keliru dengan hukuman sebat cara syariah kerana terpengaruh dengan contoh yang ditunjukkan pelampau di Afghanistan, Syria dan Iraq

SHARE

KUALA LUMPUR: Mahkamah syariah pernah melaksanakan hukuman sebatan cara syariah dan dilakukan di tempat awam, kata Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, berdasarkan rekod, mahkamah syariah di Tawau, Sabah pernah menjalankan hukuman sebat ke atas pasangan kerana kesalahan persetubuhan haram.

“Apa yang kita lakukan adalah kalau Yang Berhormat (wakil rakyat) sempat melihat perlaksanaan sebatan di Mahkamah Syariah Tawau, ia dilaksanakan pada sepasang pasangan lelaki dan wanita dan dijatuhkan dengan 6 sebatan syariah.

“Ia adalah bentuk perlaksanaan hukuman di Malaysia dan dilaksanakan di Tawau. Hukuman itu turut dihadiri pengamal undang-undang dari mahkamah sivil,” katanya sewaktu sesi perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Jamil berkata demikian menjawab pertanyaan Hanipa Maidin (Amanah-Sepang) yang menyatakan hukuman mahkamah syariah tidak menepati syarat.

Hanipa berkata, berdasarkan pemerhatian, mahkamah syariah tidak pernah melakukan sebarang hukuman sebatan cara syariah dan dilakukan di khalayak awam.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan akan membentangkan sendiri rang undang-undang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 pada sidang Parlimen kali ini.

Jelas Jamil, masyarakat rata-ratanya keliru dengan hukuman sebat cara syariah kerana terpengaruh dengan contoh yang ditunjukkan pelampau di Afghanistan, Syria dan Iraq.

“Manakala, bagi masyarakat tua-tua, biasanya mereka melihat dari filem Semerah Padi dan Lanchang Kuning. Jadi itulah yang tertanam dalam fikiran mereka bahawa itulah sebatan mengikut syariah,” katanya.

Jamil berkata, sewaktu melakukan hukuman sebatan cara syariah, pesalah yang dihukum tidak boleh dilukakan malah tidak boleh membuka baju pesalah.

“Saya fikir sudah sampai masanya kita berikan ruang untuk masyarakat melihat dan padankan, bandingkan dengan hukuman sebatan mengikut sivil dan hukuman sebatan mengikut syariah,” katanya.

RUU 355 pertama kali dibentangkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat pada Mei 2016.

Ahli Parlimen Marang pada sesi terakhir Parlimen November lalu mencadangkan usul untuk meminda akta tersebut bagi menaikkan hukuman maksimum kesalahan syariah kepada penjara 30 tahun, denda RM100,000 dan 100 sebatan rotan, daripada penjara 3 tahun, denda RM5,000 dan 6 sebatan rotan.

Free Malaysia Today

Comments