Home Tempatan JAKIM Sangat Relevan

JAKIM Sangat Relevan

SHARE

Kuala Lumpur: JAKIM sangat relevan dalam menguruskan hal ehwal umat Islam di negara ini bersama badan-badan agama negeri, demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Koordinasi NGO Islam Bersekutu (ACCIN), Shahrin Awaludin seperti yang dilaporkan oleh Malay Mail.

Beliau berterima kasih kepada JAKIM kerana memainkan peranan yang penting dalam mempertingkatkan pemahaman Islam dan memastikan keharmonian di kalangan umat Islam di negara ini terjaga.

Dalam pada itu beliau turut menegur kelemahan JAKIM yang perlu diperbaiki, “Salah satu kelemahannya adalah strukturnya yang mengakibatkannya mudah dipengaruhi oleh gangguan politik kerana berada di bawah menteri.”

Buat masa ini JAKIM terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri dan sebelum ini jatuh di bawah bidang kuasa menteri yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan hal ehwal umat Islam di Jabatan Perdana Menteri.

Shahrin Awaludin juga mencadangkan supaya JAKIM diletakkan di bawah bidang kuasa Majlis Raja-Raja Melayu, ini adalah selari dengan Perlembagaan Persekutuan dan akan menjamin kebebasan JAKIM daripada pengaruh politik.

“Ianya juga akan membantu penyelarasan di antara negeri dan Persekutuan.”

Menurut beliau lagi, JAKIM perlulah terbuka kepada kritikan dan pandangan umum demi memastikan ketelusan dan kewujudan mekanisme pengimbang supaya badan dapat dipantau.

Presiden Majlis Perundingan Islam Malaysia, Azmi Hamid pula berpendapat bahawa terdapat banyak perkara yang boleh diperbaiki oleh JAKIM.

Menurutnya JAKIM telah memainkan peranan penting dalam menyebarkan pemikiran Islam di Malaysia.

Azmi juga berpendapat bahawa semua program di bawah JAKIM perlu dikaji semula.

Kerajaan juga perlu melihat bagaimana JAKIM boleh menjadi lebih dinamik dan progresif di dalam pendekatannya.

Selain daripada itu beliau turut menyatakan kerisauan berkenaan keberkesanan JAKIM di dalam isu yang memerlukan penjelasan, menghadapi salah faham tentang Islam masih lagi sesuatu yang mencabar dikalangan masyarakat.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Abdul Rahim berpendapat bahawa JAKIM perlu lebih inklusif dengan mengadakan dialog-dialog bersama orang bukan Islam berkenaan isu-isu sensitif di negara ini.

Selain daripada itu Mohamad Raimi turut menyatakan bahawa, adalah sesuatu yang lebih baik sekiranya JAKIM diletakkan di bawah Majlis Raja-Raja berbanding Jabatan Perdana Menteri, namun sekiranya di bawah Jabatan Perdana Menteri pemantauan akan menjadi lebih mudah.

Comments