Home Tempatan Jakim mahu ambil keterangan Siti Kassim

Jakim mahu ambil keterangan Siti Kassim

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya hendak tahu daripada mulut Siti Kassim sendiri dan tidak boleh bergantung sepenuhnya pada laporan media.

SHARE

PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengambil keterangan peguam kontroversi, Siti Kasim berhubung kenyataannya 3 tahun lalu yang didakwa terpesong dari segi akidah.

Timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sebarang tindakan diserahkan kepada pihak berkuasa kerajaan negeri menerusi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, mengikut peruntukan undang-undang bersesuaian.

“Sebagai umat Islam, kita mengambil pendekatan lebih berhemah iaitu mendapatkan penjelasan beliau terlebih dahulu dan tidak boleh bergantung sepenuhnya pada laporan media yang berkemungkinan salah lapor.

“Mungkin juga kerana kejahilan agama dan tidak tahu. Jadi, kita nak tahu daripada mulut Siti Kassim sendiri dan kita berharap jangan pula dia tidak hadir,” kata beliau dalam laporan disiarkan BH Online hari ini.

Siti Kassim didakwa menerusi rancangan temu bual online dengan media berbahasa Cina mencetuskan kontroversi apabila mendakwa mempunyai Islam versi sendiri dan menganggap Tuhan tercipta daripada getaran.

Kenyataan Siti Kasim itu dibuat dalam temu bual bersama media berbahasa Cina, 3 tahun lalu yang beliau pernah berfikir tentang asal usul kewujudan Tuhan.

Susulan kenyataan itu beberapa portal mula melaporkan tentang wawancara itu pada 2014 dan menyebabkan pengguna media sosial menyerang peguam tersebut sehingga ada yang membuat ugutan bunuh.

Berikutan ugutan bunuh itu, Siti Kasim tampil membuat laporan polis pada 18 Mac apabila mendakwa media memanipulasikan kenyataan sebenar sehingga mengelirukan orang ramai.

Laporan FMT pada 24 Mac lepas memetik Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Mohd Nor menyifatkan kenyataan Siti Kasim jelas menunjukkan peguam itu jahil agama.

Beliau berkata, kalau betul Siti Kasim mengeluarkan kata-kata yang meragui asal usul kewujudan Tuhan, ia menjurus ke arah murtad.

Wan Salim berkata, beliau menyarankan Siti Kasim supaya kembali ke jalan yang benar dengan mendalami pengajian akidah terutamanya melibatkan agama Islam.

“Saya sangat mengalu-alukan kalau Siti Kasim berbincang secara tertutup dengan pakar akidah termasuk pakar saintifik yang boleh beri keterangan kerana orang macam dia perlu diberi pemahaman bukan dengan cara tradisional tetapi dikaitkan dengan perkembangan sains,” katanya.

Free Malaysia Today

Comments