Home Tempatan Jakim: Homoseksual penyebar utama HIV

Jakim: Homoseksual penyebar utama HIV

SHARE

Statistik terbaru menunjukkan golongan homoseksual dan biseksual menjadi kumpulan penyumbang utama penyebaran virus HIV dan AIDS, kata pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Dr Izwan Md Yusof.

Katanya, statistik terbaru Bahagian HIV/STI Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur menunjukkan 65 peratus jangkitan berpunca daripada golongan homoseksual dan biseksual, manakala 31 peratus jangkitan melalui hubungan seksual lelaki kepada wanita dan sebaliknya.

“Kita kena bantu mereka, mendekati mereka dan bagi advokasi kepada mereka yang terlibat, dalam sudut Islam kita kena elak daripada berlaku. Kita kena berhati-hati daripada perkara ini berlaku,” katanya.

Irwan berkata demikian dalam forum Program Kesedaran Mahasiswa Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) anjuran Jakim di Universiti Malaya (UM) di ibu negara hari ini.

Forum tersebut menjadi hangat seketika apabila seorang mahasiswa UM cuba membetulkan statistik Izwan.

Menurut Calson Chew, statistik Izwan tidak tepat, sebaliknya berkata 70 peratus penyakit HIV berpunca daripada golongan heteroseksual dan bukannya homoseksual.

“Kementerian kesihatan sendiri yang cakap 70 peratus HIV adalah dari hetroseksual. Sebenarnya statistik paling tinggi adalah heterosexual transmission, benda ini boleh Google, ada laporan daripada Kementerian Kesihatan,” katanya.

Namun Calson ketika ditemui pemberita selepas itu mengakui tersilap memberikan statistik 2015 sedangkan Izwan pula memberikan statistik 2017.

Forum itu turut dihadiri 300 orang mahasiswa dan turut kelihatan pengasas NGO Transgender Justice for Sisters Thilaga Sulathireh.

Selain itu forum tersebut turut dihadiri oleh dua individu yang tidak lagi menjadi mak nyah dan lesbian, Mohamed Bakri Abu Bakar dan individu dikenali sebagai Kak Jun.

Kak Jun berkata golongan LGBT seharusnya didekati terlebih dahulu dan tidak terlalu ghairah menyebut isu pahala dan dosa dalam berdakwah.

“Dakwah itu (ahli syurga neraka) tidak boleh, kerana kita tidak tahu. Kalau boleh, kenali mereka kemudian barulah berdakwah.

“Kalau mereka ini pandai pujuk, Insya-Allah mereka akan boleh (berubah). Jangan drastik kata tiket ke syurga (kalau berubah), tak patut.

“Pasal dosa pahala itu awak ketepikan dulu. Awak ajak berkawan kenal mereka dan dari itu sikit-sikit bimbing ke arah kearah keagamaan,” katanya.

Beliau turut berkata semua pihak perlu memainkan peranan untuk mendekati golongan ini dan tidak mendiskriminasikan mereka.

“Saya rasa Jakim sekarang mereka lebih memahami (LGBT). Mungkin forum-forum luar tak berapa (sensitif).

Sila klik di sini untuk bacaan lanjut.

Comments