Home Tempatan Jakim harus lebih aktif jadi rujukan status hadis

Jakim harus lebih aktif jadi rujukan status hadis

SHARE

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui Darul Hadis Malaysia diminta lebih aktif menjadi pusat rujukan umat Islam berkaitan status sesebuah hadis.

Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki dalam majlis perasmian Wacana Hadis di Kompleks Islam Putrajaya semalam.

Beliau juga berkata Jakim akan memanfaatkan semua platform media sosialnya dan media massa bagi membolehkan masyarakat bertanya dan mendapatkan kepastian mengenai status hadis yang disebarkan.

“Moga-moga dengan adanya platform seperti ini, proses penjernihan dan pencerahan dapat dilakukan bagi mengelakkan umat terkeliru dan dikelirukan dek penyebaran hadis-hadis yang tidak diketahui sama ada sahih ataupun palsu.

“Lebih memudaratkan apabila wujud kecenderungan di kalangan pihak yang memanipulasi kejahilan masyarakat dengan mempromosi produk-produk jualan termasuk makanan atas nama sunnah dan hadis,” katanya.

Darul Hadis Malaysia telah diumumkan penubuhannya oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak setelah dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam.

Comments