Home Tempatan JAKIM anjur konvensyen Badan Pensijilan Halal 2017

JAKIM anjur konvensyen Badan Pensijilan Halal 2017

SHARE

PUTRAJAYA: JAKIM akan menganjurkan Konvensyen Badan Pensijilan Halal 2017 selama dua hari di hotel Sama-Sama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 3 dan 4 April ini.

Pengarah Bahagian Hab Halal JAKIM, Dr Sirajuddin Suhaimee, berkata konvensyen kali kelapan itu akan disertai lebih 800 perwakilan dari dalam dan luar negara, dengan tumpuan khusus kepada aspek teknikal sebagai usaha untuk meningkatkan kemahiran badan pensijilan halal luar negara.

“Justeru, tahun ini JAKIM buat julung kali turut menganjurkan Program Keupayaan Teknikal Halal Antarabangsa (IHTCPD) berdasarkan permintaan daripada badan persijilan halal yang diiktiraf JAKIM.

“IHTCPD ini adalah bagi memenuhi permintaan yang diperlukan oleh auditor dan kemas kini teknikal pensijilan halal luar negara bagi melaksanakan standard yang sama untuk digunapakai di seluruh dunia,” katanya pada Konvensyen Badan Pensijilan Halal Ke-8 2017, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Hab Halal JAKIM, Muhammad Naim Mohd Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif DagangHalal, Ali Sabri Sani Abdullah.

Konvensyen kali ini, antara lain, bertujuan meningkatkan kefahaman badan pensijilan halal luar negara berhubung Sistem Standard Halal Malaysia di samping menjadi pentas perkongsian maklumat dan pengalaman kepada badan yang baru diiktiraf.

Hingga kini, JAKIM memberi pengiktirafan kepada 62 badan pensijilan halal luar negara dari 40 negara dan lima pihak berkuasa daripada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Sirajuddin berkata, konvensyen berkenaan turut dibuka kepada industri di negara ini membabitkan penyertaan agensi strategik halal JAKIM bagi berkongsi idea dalam melaksanakan pensijilan halal dalam industri mereka.

Sempena konvensyen ini, JAKIM turut melancarkan aplikasi baharu permohonan badan pensijilan halal secara dalam talian dan pelancaran buku bertajuk ‘Harmonisation of Halal Standard Among Majlis Agama Brunei, Indonesia Malaysia and Singapore (MABIMS) Countries’, yang dilakukan dengan kerjasama Bank Pembangunan Islam (IDB).

“Konvensyen ini bertujuan meningkatkan kefahaman Badan Pensijilan Halal berhubung pelaksanaan Standard Halal Malaysia di samping mengukuhkan keupayaan Badan Pensijilan Halal dalam pengurusan pensijilan halal yang selaras lagi sistematik dengan Badan Pensijilan Halal Antarabangsa,” katanya.

Berita Harian

Comments