Home Tempatan Jakim amat dekat di hati Dr M, kata pengarah

Jakim amat dekat di hati Dr M, kata pengarah

Jakim berkata ia bersedia dengan 'arus perubahan' terhadap jabatan itu, di sebalik gesaan ia dibubarkan kerana peranan yang dimainkan melanggari perlembagaan.

SHARE

PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkata pihaknya menerima pelbagai ucapan sokongan supaya ia dikekalkan, di sebalik desakan supaya kerajaan baru membubarkan badan kerajaan itu.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata beliau yakin jabatan itu dikekalkan oleh kepimpinan Dr Mahathir.

“Jakim amat dekat di hati YAB Tun Dr Mahathir kerana Jakim berkembang dan dinaik taraf di zaman kepimpinan beliau pada tahun 1997,” katanya dalam kenyataan semalam di muat naik di Facebook.

Sebelum ini, beberapa pihak menggesa Jakim dibubarkan, antara kerana ia dilihat mencampuri urusan agama yang sepatutnya diletakkan di bawah raja Melayu dan majlis agama negeri.

Dr Mahathir ketika ditanya sama ada Jakim akan dibubarkan baru-baru ini enggan memberi jawapan jelas, sebaliknya berkata ia belum diputuskan.

Pada Februari lalu, veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah mendakwa Jakim ditubuhkan pada era pentadbiran Dr Mahathir dulu sebagai usaha menjadikan Umno “lebih Islam” daripada saingan utamanya ketika itu, PAS.

“Jakim tidak berperlembagaan,” kata ahli Parlimen Gua Musang itu dalam wawancara bersama FMT.

“Apabila beliau (Dr Mahathir) berkuasa, beliau melihat PAS sebagai satu ancaman. Oleh itu, beliau meneruskan program Islamnya, menubuhkan Jakim misalnya.”

Jakim diumumkan secara rasmi pada 1997, sebahagian daripada Jabatan Perdana Menteri. Ia antara lain menguruskan pensijilan halal sektor makanan pengguna, industri yang bernilai berbilion ringgit.

Nordin berkata keinginan Jakim dikekalkan adalah “sebahagian besar hasrat dan kehendak rakyat yang mahu Jakim terus berperanan sebagai mana sedia ada”, dan menambah pandangan sama juga diutarakan tokoh politik dan pentadbir awam yang pernah berkerja di bawah kepimpinan Dr Mahathir.

“Saya dan rakan-rakan di Jakim sentiasa bersedia dengan arus perubahan dan sebarang penambahbaikkan terhadap Jakim sekiranya ada akan kami pastikan ia tidak lain dan bukan adalah bagi menjunjung tinggi semangat Perlembagaan Persekutuan dan demi kebaikan semua pihak,” katanya.

Untuk berita penuh sila klik di sini

Free Malaysia Today

Comments