Home Tempatan Jais tangkap 34 pengikut Islam Jamaah

Jais tangkap 34 pengikut Islam Jamaah

SHARE

SHAH ALAM, 24 Syaaban 1438H, Ahad – Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menangkap 34 pengikut kumpulan ajaran Islam Jamaah dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Tok Muda, Klang, jam 10.30 malam semalam.

Tuan rumah, seorang guru serta 34 pengikut ajaran kumpulan itu yang berusia antara 17 hingga 60 tahun ditahan dan dirakam percakapan mereka bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 119, Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 pindaan 2015 dan Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995.

Ajaran Islam Jamaah diperkenalkan di Jawa Timur pada 1941 oleh Nurhasan al-Ubaidah atau nama sebenarnya Mohammad Madigol Abdul Aziz.

Antara ciri-ciri ajaran sesat itu ialah umat Islam selain daripada kelompok mereka dan orang lain dianggap kafir dan najis mughallazah tidak perlu disamak; binatang yang mati dalam kawasan kampung orang Islam tidak perlu disembelih dan halal dimakan; tulang babi tidak haram; solat Jumaat di rumah; dan tidak menghormati al-Quran.

Mereka juga menganggap bahawa sahih tidaknya suatu hadis tergantung kepada amir mereka. Sebuah hadis palsu dapat dianggap hadis sahih jika menurut amir mereka ia adalah hadis sahih.

Ajaran itu juga percaya dosa boleh diampun dengan membayar tebusan yang ditentukan oleh pemimpinnya.

Ajaran Islam Jamaah adalah antara tujuh ajaran yang difatwakan menyeleweng daripada Islam oleh Jabatan Mufti Selangor, tetapi masih aktif, kata Pengarah Jais, Datuk Haris Kassim.

Semua yang ditahan bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan.

Comments