Home Tempatan JAIPs beri penerangan premis ke premis jelas keperluan label berus cat

JAIPs beri penerangan premis ke premis jelas keperluan label berus cat

SHARE

KANGAR, 10 Jamadilawal 1438H, Selasa – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs), akan memberi penerangan dari premis ke premis bagi menerangkan keperluan dan kepentingan label penjualan berus cat yang diperbuat daripada bulu babi.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Hub Halal JAIPs, Mohd Al Hafiz Abdul Aziz berkata, sesi penerangan itu akan dilakukan dalam kadar segera bagi memperbetulkan kekeliruan dalam kalangan peniaga.

“Kita akan minta mereka (peniaga) label dan asingkan peralatan yang diperbuat daripada binatang berkenaan iaitu anjing dan babi bagi mengelak orang Islam terbeli dan menggunakan peralatan itu.

“Cara ini (premis ke premis) adalah lebih praktikal dan cepat berbanding jika mahu semua peniaga berkenaan datang ke jabatan agama,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengikuti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengadakan operasi di premis perkakasan binaan di sekitar Kangar hari ini.

Sementara itu, Penolong Ketua Penguatkuasa KPDNKK Perlis, Ahmad Sabri Mohd Suri berkata, dalam operasi khas di tiga premis itu, sebanyak 21 berus cat bernilai RM93.50 dirampas.

“Sebanyak dua daripada tiga premis dikesan menjual berus cat yang dipercayai diperbuat daripada bulu babi dan ini baru melibatkan kes di Kangar, kita akan terus adakan operasi di premis lain pula di seluruh negeri selepas ini,” katanya.

Semua barang rampasan berkenaan akan dihantar ke jabatan kimia untuk dianalisis.

Katanya, jika peniaga berkenaan didapati bersalah, mereka boleh didakwa mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 yang boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Sabri berkata, selepas ini KPDNKK juga akan mengadakan operasi ke kedai membuat kek dan roti kerana dikhuatiri turut menggunakan peralatan daripada bulu haiwan berkenaan.

“Kita tidak mahu perkara ini dipandang remeh kerana ia membabitkan hak pengguna dan paling utama kesucian umat Islam,” katanya. – Bernama

Comments