Home Tempatan Jaipk serbu premis jual makanan pada ‘kaki ponteng’

Jaipk serbu premis jual makanan pada ‘kaki ponteng’

SHARE

KUALA KANGSAR – Tujuh premis sekitar Kuala Kangsar diserbu dalam operasi bersepadu diketuai Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) bersama Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) dan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Kangsar, di sini, semalam.

Dalam operasi tersebut, sebuah premis diarah tutup kerana didapati tidak menjaga kebersihan, manakala enam premis lain diberi amaran lisan kerana beroperasi awal di bulan Ramadan.

Pegawai Tadbir Agama Kuala Kangsar, Burhanuddin Md Dali berkata, penguat kuasa menyerbu premis disyaki menjual makanan kepada ‘kaki ponteng’ puasa.

Begitupun, tiada tangkapan dibuat memandangkan operasi dibuat pada sebelah pagi, namun ada juga pelanggan melarikan diri sebaik ternampak penguat kuasa.
“Apabila kami tiba di sebuah kedai di bandar Kuala Kangsar, kami mendapati ada beberapa pelanggan sedang membeli makanan. Bila kami sampai, mereka terus melarikan diri.

“Operasi hari ini (semalam) bermula di Manong dan berakhir di bandar Kuala Kangsar. Kita turut singgah ke premis di Padang Rengas dan beberapa kawasan lain.

“Semua premis diberi teguran kerana beroperasi awal. Malah ada beberapa premis disyaki menyediakan makanan kepada kaki ponteng puasa berdasarkan bekas makanan tersorok di belakang kedai,” katanya.

Dalam pada itu, Burhanuddin mencadangkan supaya pihak berkuasa tempatan menyeragamkan waktu perniagaan premis sempena bulan Ramadan.

Menurutnya, notis mungkin boleh diberikan kepada peniaga supaya gejala ponteng puasa dapat dikawal apabila waktu perniagaan tidak terlalu awal.

“Saya juga ingin nasihatkan kepada umat Islam di Kuala Kangsar supaya menghormati bulan Ramadan. Bukan saja masyarakat malah peniaga juga perlu tunjukkan hormat.

“Berdasarkan pengalaman kita, peniaga mengaut untuk berlipat ganda semasa Ramadan. Jadi, kita harap peniaga selepas ini lebih menghormati Ramadan dan tidak menjual makanan kepada orang tidak puasa.

“Jangan fikir kami tidak tahu mana kedai yang selalu jual makanan kepada kaki ponteng puasa. Selepas ini, pemantauan akan terus dijalankan sehingga tamat Ramadan,” katanya.

Sinar Online

Comments