Home Tempatan Jaipk buka Kafa menengah pertama

Jaipk buka Kafa menengah pertama

SHARE

IPOH – Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) memperkenalkan pembelajaran kelas Kafa melibatkan pelajar sekolah menengah yang merupakan konsep pertama seumpamanya dilaksanakan di negara ini.

Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, kelas berkenaan yang menjadikan masjid sebagai tempat belajar telah bermula awal tahun ini dengan mengambil konsep pembelajaran sama seperti Kafa rendah.

Bagaimanapun menurutnya, sesuai dengan peserta dalam kalangan pelajar menengah, level silibus yang menekankan pembelajaran seperti al-Quran, tajwid, fikah dan akidah itu adalah lebih tinggi.

“Untuk permulaan ini, masjid daerah Manjung (Masjid Nurul Hidayah) telah dipilih sebagai perintis memulakan program Kafa menengah ini.

“Alhamdulillah, ketika ini sudah ada 39 pelajar telah mendaftar, mereka ini merupakan anak-anak yang tinggal di kawasan kariah masjid berkenaan.

“Menjelang akhir tahun hadapan, kita menyasarkan sekurang-kurangnya satu masjid di setiap daerah membuka kelas Kafa menengah ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, program Kafa menengah ini mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Jabatan Pendidikan serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Sementara tenaga pengajar dan silibus pembelajaran pula, menggunakan modul yang disediakan Bahagian Pendidikan Jaipk sendiri.

Katanya, buat masa ini, masa pengajian tiga kali seminggu dan terbahagi kepada dua sesi iaitu sesi pagi bermula jam 9 hingga 11 pagi dan petang (2.30-4.30 petang)

“Matlamat kita untuk mewujudkan persekitaran yang lebih baik melalui kefahaman dalam agama.

“Daripada mereka membuang masa melakukan perkara tidak berfaedah sebelum atau selepas tamat sesi persekolahan, adalah lebih baik ibu bapa menghantar anak-anak mengikuti kelas ini,” katanya.

Mana-mana pelajar yang berminat untuk menyertai pembelajaran Kafa menengah ini boleh mendapatkan maklumat di pejabat agama daerah berhampiran.

Sinar Online

Comments