Home Tempatan JAIM, MAIM Kaji Kemasukan Penceramah Luar Yang Semakin Berleluasa Ke Melaka

JAIM, MAIM Kaji Kemasukan Penceramah Luar Yang Semakin Berleluasa Ke Melaka

SHARE

Kerajaan negeri melalui Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) akan mengkaji secara terperinci kemasukan penceramah luar yang dilihat semakin berleluasa sejak 2015.

Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata situasi berkenaan boleh memberi impak negatif terhadap Melaka antaranya penceramah tempatan di negeri ini tidak layak atau mampu mengajar dan memberi agaceramah agama.

“Kita akan menetapkan syarat lebih ketat terhadap kemasukan penceramah luar bagi membendung isu negatif timbul. Berdasarkan rekod, sebanyak 157 penceramah luar termasuk dari Indonesia, Libya, Pakistan, Syria, Thailand, Yaman, Mesir, Lubnan, Singapura, India, Iraq dan Jordan dikesan memasuki Melaka sejak 2015.

“Kawalan yang lebih ketat oleh JAIM dan MAIM perlu untuk menapis ajaran penceramah luar ini,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri semalam.

Beliau berkata langkah itu penting kerana pihaknya khuatir penceramah yang masuk ke negeri ini menyampaikan ajaran yang bertentangan dengan polisi atau undang-undang kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.

Beliau berkata komunikasi juga antara faktor kerana penggunaan bahasa Arab yang diterjemahkan ke Bahasa Melayu oleh kebanyakan penceramah luar mungkin membawa maksud berbeza dan disalah erti.

Sementara itu, kerajaan negeri mengucapkan tahniah kepada keluarga bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba kerana dikurniakan Darjah Seri Utama Mahkota Wilayah (SUMW) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.

Beliau berkata pihaknya turut terharu dan berbangga dengan pengurniaandarjah berkenaan kerana Allahyarham juga ialah bekas Ketua Menteri dan namanya sinonim dengan negeri tersebut (Melaka).

“Saya menghargai kepimpinan Wilayah Persekutuan termasuk Menterinya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang mengiktiraf jasa dan sumbangan Allahyarham.

“Saya dan barisan Exco serta seluruh rakyat Melaka berasa gembira dan merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih,” katanya.

Allahyarham Abdul Ghafar yang pernah menjadi ahli Parlimen Jasin pada 1995 dan ahli Parlimen Batu Berendam pada 1999, mengetuai senarai 375 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat bersempena Hari Wilayah Persekutuan, hari ini.

Bernama

Comments