Home Tempatan Jagir Singh Berbohong? PAS Tidak Pernah Kutip Jizyah di Terengganu

Jagir Singh Berbohong? PAS Tidak Pernah Kutip Jizyah di Terengganu

SHARE

Kuala Lumpur: Baru-baru ini, ahli Jawatankuasa mempromosikan Persefahaman Dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA) Sardar Jagir Singh membuat satu dakwaan bahawa, Dato’ Seri Abdul Hadi pernah mengutip jizyah sewaktu menjadi Menteri Besar Terengganu antara tahun 1999 – 2004.

Jagir Singh membuat dakwaan berkenaan di satu program anjuran MCA pada 10 Mac 2017 yang bertajuk “Implications of Hadi Awang’s RUU 355” atau dalam Bahasa Melayu “Kesan Perlaksanaan RUU 355 Hadi Awang”. Mengikut Ustaz Mohd Fadli Ghani, Ketua House of Resources Pusat Penyelidikan PAS, “PAS tidak pernah mengutip jizyah, bahkan tidak pernah dicadangkan sekalipun”.

Tambah Ustaz Mohd Fadli, apa yang sebenarnya berlaku adalah cadangan untuk mengutip kharaj. Kharaj adalah berupa kutipan ke atas warga bukan Islam demi memenuhi keperluan keagamaan mereka di negeri itu. Sebagai contoh, jika terdapat keperluan untuk membina kuil dan sebagainya, sumber kewangan boleh diperolehi melalui sistem kharaj.

Namun demikian mengikut kenyataan pakar politik Malaysia, Dr. Kamarul Zaman Yusoff, cadangan ini tidak mendapat sokongan daripada Jawatankuasa PAS Pusat. Ini adalah kerana mengikut Presiden Pas pada waktu itu Dato’ Ustaz Fadzil Noor, segala jenis keputusan perlu mengambil kira keadaan masyarakat di Malaysia dan bukan terbatas kepada Kelantan dan Terengganu. Cadangan ini timbul di muka surat khabar pada 4 Disember 1999 namun menerima tentangan hebat dari pelbagai pihak termasuk parti politik dan NGO.

Dakwaan yang dibuat oleh Jagir Singh di dalam forum tersebut, dilihat sebagai tindakan yang tidak bertanggungjawab. Tindakan ini hanya dilihat sebagai satu cara untuk menakut-nakutkan golongan bukan Islam di Malaysia daripada menyokong pindaan terhadap RUU 355.

Apatah lagi kedudukannya sebagai salah seorang daripada ahli JKMPKA yang seharus lebih fokus kepada usaha mempromosikan kefahaman dan menyemai keharmonian antara kaum dan agama di Malaysia.

Comments