Home Tempatan Jadikan Perkahwinan Asbab Memuliakan Wanita – Pesuruhjaya Suhakam Prof Madya Dr Nik...

Jadikan Perkahwinan Asbab Memuliakan Wanita – Pesuruhjaya Suhakam Prof Madya Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh

SHARE

Kuala Lumpur: “Terdapat salah faham pembaca mengenai tulisan saya di Facebook baru-baru ini kerana tidak memahami keseluruhan konteks sehingga tersasar dari maksud yang saya sampaikan di dalam tulisan saya berhubung isu perkahwinan kanak-kanak melibatkan remaja bawah umur,” kata Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) Prof Madya Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh.

“Dalam konteks perkahwinan, tidak ada usia yang ditentukan secara qat’i untuk berkahwin, kalau khilaf itu ada, maka terbuka kepada mana-mana negara untuk mengkhususkan berapa had umur yang sesuai mengikut lokal konteks negara tersebut.”

Jelas beliau, di Malaysia kita sedia maklum undang-undang Enakmen Keluarga Islam Negeri-Negeri menentukan perempuan 16 tahun dan lelaki 18 tahun sekurang-kurangnya.

“Tetapi setakat ini ada pengecualian, jika hendak berkahwin juga di bawah usia yang tidak dibenarkan oleh undang-undang, mesti dengan kebenaran Mahkamah Syariah,” katanya.

Justeru, dalam hal ini, sekiranya Mahkamah Syariah membenarkan perkahwinan bawah umur, ia mestilah dengan syarat tidak ada unsur-unsur penganiayaan dan kezaliman terhadap wanita, sebab itu juga prinsip utama dalam Islam.

Beliau berkata, apa-apa perkara pun sama ada mahu berkahwin atau sebagainya prinsip asasnya tidak boleh ada kezaliman terhadap makhluk Allah ini.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengulas lanjut sebagai berkata, tanggungjawab dalam perkahwinan ini terlalu besar sebagai suami dan sebagai isteri, jadi sesiapa yang hendak berkahwin dia mesti memastikan boleh bertanggungjawab, barulah dia boleh berkahwin supaya perkahwinan itu tercapai objektifnya. Bagi wanita pula, jadikan perkahwinan itu asbab untuk memuliakan mereka.

“Tetapi kalau sekiranya, dalam konteks semasa kita lihat orang dewasa pun yang berkahwin tidak boleh capai objektif perkahwinan itu, dengan ilmu dan agama yang kurang, masalah nafkah tidak diberi, dengan masalah tanggungjawab dan komitmen malah, masih keliru yang mana satu tugas isteri dan yang mana satu tugas suami.”

“Kemudian undang-undang keluarga Islam pun dia tidak hadam lagi. Maka, kalau orang dewasa yang ada ilmu sekalipun tidak dapat capai objektif perkahwinan apatah lagi kanak-kanak berumur 11 tahun dan itulah maksud artikel saya,” ujar beliau.

Beliau menegaskan, maksudnya, kalau semua perkara itu pun orang dewasa tidak mampu capai dalam konteks hari ini disebabkan kurang pendidikan terhadap wali, tanggungjawab suami dan tanggungjawab isteri dan sebagainya apalah lagi kalau remaja berumur 11 tahun.

“Sebenarnya kenyataan saya ini tidak menyokong perkahwinan bawah umur dan seperti yang saya katakan tadi, walaupun Islam tidak mengatakan haram berkahwin dengan kanak-kanak tetapi apabila kita mengambil kira faktor keadilan terhadap wanita dan faktor keadilan terhadap anak-anak yang akan lahir sudah tentu perkahwinan dengan kanak-kanak seawal usia 11 tahun itu tidak sepatutnya dibiarkan berlaku hari ini.”

Prof Madya Dr Nik Salida Suhaila berkata, berhati-hati apabila mengaitkan setiap perbuatan kita dengan amalan Sunnah. Jika tersilap langkah, ia menjadi fitnah. Ajaran Islam yang sebenar memberi keadilan kepada wanita dan kanak-kanak tanpa kompromi. Bahkan memberikan hak kepada mereka lebih daripada tanggungjawab yang perlu digalas.

Justeru, haramkan sebarang perkahwinan yang menganiaya wanita dan kanak-kanak dan hentikan sebarang usaha menjadikan wanita dan kanak-kanak sebagai objek sosial yang mewarnai dunia patriaki. Wujud mereka untuk dihormati dan dilindungi, bukan dizalimi.

“Sebaiknya lelaki yang ingin berkahwin pastikan telah teguh ekonomi sendiri, cari ilmu dan elokkan peribadi serta belajar mengurus rumah tangga bahagia,” katanya.

“Biarlah kanak-kanak perempuan diberikan hak untuk mendapat pendidikan, belajar sampai habis, sekurang-kurangnya untuk masa depannya sendiri. Manalah tahu ada ujian dalam perkahwinannya atau suami meninggal atau suami tidak bertanggungjawab ke sekurang-kurangnya dia boleh bekerja. Ada juga ilmu boleh membaca dan sebagainya.”

Menurut beliau, sebenarnya banyak positifnya bila had umur itu dinaikkan kepada 18 tahun.

“Tetapi walaupun ada kebenaran untuk kes-kes tertentu perkahwinan bawah umur, masih lagi kita tidak boleh berkompromi dalam hal penganiayaan, kezaliman dan diskriminasi terhadap wanita sebab Islam sendiri menentang kezaliman terhadap wanita, apalagi kanak-kanak.

Menurutnya lagi, daripada segi ilmu pun akan bertambah apabila bertambahnya usia dan daripada sudut biologikal majoritinya akan lebih matang daripada segi tubuh badannya untuk mengandung, menyusukan anak dan daripada sudut bersedianya untuk tugas-tugas bebanan rumah tangga.

Beliau menjelaskan dalam soal zina pula, beliau rasa kita boleh mendidik masyarakat dengan cara lain selain daripada kita membenarkan perkahwinan di usia terlalu muda.

“Sebab kalau nak elakkan zina kita benarkan perkahwinan, macam mana pula dengan penganiayaan yang wujud dalam perkahwinan, siapa nak tangani, seolah-olah apabila kita beri mereka kahwin selesai sudah masalah di dalam dunia ini.”

“Sedangkan banyak lagi masalah lain, jadi timbang tara itu perlu dilihat secara teliti,” ujarnya lagi.

Ditanya komen beliau terhadap pihak-pihak yang mahu menaikkan tahap umur kepada 18 tahun bagi semua Muslim yang mahu bernikah, bukankah ini kelak akan menafikan hak seseorang Muslim untuk bernikah awal dan berkeluarga yang dalam Islam merupakan satu ibadah?

Prof Madya Dr Nik Salida Suhaila menjelaskan setakat ini tidak banyak perlindungan yang diberikan kepada wanita yang berkahwin dalam usia yang muda, terutama daripada sudut pendidikan.

“Tambahan pula proses pendidikan ketua keluarga/wali itu kurang berlaku, kurang nampak agresif. Semua orang sibuk nak memperkasa wanita siapa pula yang nak memperkasakan lelaki sebagai ketua keluarga, tidak ada. Siapa yang nak memperingatkan lelaki, tugas seorang wali memberi nafkah, bukan sekadar menerima pusaka dan memperakad nikah, tidak ada.”

“Jadi kalau tidak berlaku pendidikan itu maksudnya wanita ini jangan kita serah dia kepada lelaki yang tidak bertanggungjawab sebelum mereka berilmu,” jelas beliau.

Justeru, banyak perkara yang kerajaan kena buat dan menaikkan had umur ini adalah salah satu penyelesaian masalah.

Menurutnya, jika sekalipun seorang lelaki itu sudah layak berumah tangga kita masih perlu meneliti dari sudut kelayakan perempuan pula sama ada sudah bersedia atau belum daripada segala aspek, jika belum maka dia tidak akan boleh dan tidak akan mampu mengharmonikan perkahwinan.

“Maka bagi saya biarlah kedua-dua pihak itu seiiring barulah perkahwinan itu tercapai objektifnya” katanya.

Comments