Home Tempatan Jadikan krisis Rohingya agenda ASEAN

Jadikan krisis Rohingya agenda ASEAN

SHARE

KUALA LUMPUR 14 April – Krisis pelarian Rohingya di Myanmar perlu diangkat sebagai agenda ASEAN kerana isu kemanusiaan tersebut semakin besar melibatkan negara-negara di rantau ini.

Bekas Duta Khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Tan Sri Syed Hamid Syed Albar berkata, usul dan penyataan terhadap krisis kemanusiaan berkenaan sahaja tidak mencukupi tetapi perlu disertakan bersama tindakan.

Hal ini kerana kata beliau, komuniti ASEAN sehingga kini masih mengambil sikap berdiam diri dengan tidak melakukan sebarang tindakan.

“Inilah masanya komuniti ASEAN meningkatkan tekanan dalam apa sahaja dengan segera dan jangka panjang. Masyarakat antarabangsa melihat krisis ini sebagai kejadian yang amat serius dan pihak berwajib perlu campur tangan.

“Saya berharap negara-negara ASEAN dapat memasukkan krisis pelarian Rohingya sebagai agenda rantau ini. Hal ini kerana ianya mempunyai kesan tiga dimensi seperti politik, keselamatan dan ekonomi. Ini penting,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Simposium Kemanusiaan Siri 1: Rohingya, Plight & Despair, Hope? di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dekat sini hari ini.

Dalam majlis itu, Syed Hamid turut melancarkan sebuah buku berjudul Flotilla: Mengesat Air Mata Rohingya karya Presiden Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul Hamid.

Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Dekan Fakulti Undang-undang Ahmad Ibrahim, Prof. Dr. Ashgar Ali Ali Mohamed dan Mohd. Azmi.

Mengulas lanjut Syed Hamid berkata, ketika ini kerajaan perlu memberi perhatian ke atas pelarian Rohingya yang berada di sini dengan menyedia kemudahan sewajarnya.

“Yang ada kat sana kita kena beri perhatian dengan menyediakan sekolah dan sebagainya. Jika tidak, pasti akan menjadi masalah kepada kita,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

utusan online

Comments