Home Tempatan Jadikan ilmu sebagai matlamat kehidupan – Sultan Terengganu

Jadikan ilmu sebagai matlamat kehidupan – Sultan Terengganu

SHARE
SULTAN MIZAN ZAINAL ABIDIN

DUNGUN 7 Mac – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru umat Islam di negeri ini untuk mengambil peluang dalam menjadikan ilmu sebagai satu matlamat kehidupan bagi diri mereka dan keluarga.

Baginda bertitah, ilmu me­rupakan satu-satunya perkara yang akan kekal bersama seseorang sehingga ke akhir hayat, justeru semua muslimin dan muslimat diingatkan agar tidak berhenti mencari dan mengejar ilmu.

Titah baginda, dalam konteks itu, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Mai­dam) misalnya telah mengatur kelas-kelas pengajaran agama di masjid dan surau seluruh negeri bagi memudahkan rakyat untuk mendalami agama Islam secara sempurna dan selamat daripada segala bentuk ajaran yang tidak menepati kehendak al-Quran dan Sunnah.

“Ambillah peluang yang ma­sih ada untuk menuntut ilmu. Beta berharap semua muslimin dan muslimat menanam sema­ngat pada diri dan keluarga un­tuk menjadi golongan yang tidak pernah berpuas hati de­ngan ilmu yang ada.

“Sistem pengajaran dan pembelajaran teratur ini akan dapat menyelamatkan umat Islam daripada terjebak dengan pelbagai pemahaman ilmu yang bersifat melampau yang tidak pernah dianjurkan oleh Islam,” titah baginda ketika menutup Majlis Tilawah al-Quran peringkat negeri di Arena Merdeka, Dungun, di sini baru-baru ini.

Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd. Zubir Embong dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail serta Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-tugas Khas negeri, Gha­zali Taib.

Sultan Mizan bertitah, intisari ayat-ayat suci al-Quran yang dibaca oleh para qari dan qariah sepanjang majlis itu berlangsung perlu dihayati dan diambil iktibar oleh seluruh rakyat.

utusan online

 

Comments